Berita

Subsidi tepung gandum tak ditamatkan, alih ke Payung Rahmah

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 Mac 2024 12:25 PM MYT

PEMBERIAN subsidi tepung gandum kegunaan am yang bernilai RM40 juta, telah dialihkan ke dalam butiran perbelanjaan program Payung Rahmah menerusi Bajet 2024.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata peruntukan bagi tepung gandum kegunaan am itu, termasuk dalam peruntukan RM200 juta bagi program Payung Rahmah.

“Pada butiran pada Bajet 2023, ada butiran 040600 iaitu subsidi tepung gandum kegunaan am iaitu RM40 juta, pada Bajet 2024 butiran ini tiada dan ditanya dalam Dewan ini.

“Untuk tepung kegunaan am ini, RM40 juta ringgit ini, bajet itu ada kita asingkan tetapi ia tidak pernah dituntut, kerana tiada kilang nak buat tepung kegunaan am dan rakyat pun tidak pernah minta.

“Yang dikeluarkan cuma tepung cap kunci, tepung cap ros dan tiada tepung kegunaan am ini kerana tiada kilang yang nak buat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), yang ingin tahu perancangan khusus Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), susulan subsidi tepung gandum terpaksa ditamatkan seperti diumumkan menteri berkenaan baru-baru ini.

Fuziah berkata kenyataan bahawa pengedaran serta pengeluaran barangan subsidi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), lebih baik berbanding selepas pilihan raya berkenaan, adalah tidak benar.

Beliau berkata sebagai contoh pada 2022, pengeluaran gula sebanyak 437,290 metrik tan manakala pengedarannya sebanyak 430,713 metrik tan keseluruhannya, berbanding pada tahun lepas pengeluaran gula ialah 489,451 metrik tan manakala pengedarannya ialah 471,241 metrik tan.

“Bagi minyak masak peket bersubsidi…pengeluarannya secara purata pada 2022 ialah 55,000 metrik tan bulanan. Pada 2023 pula, maksimum pengeluaran (minyak masak peket) ialah 60,000 metrik tan.

“Pengeluaran (barangan bersubsidi) pada 2023 lebih banyak berbanding 2022. Maka tidak benarlah yang mengatakan sebelum PRU15 itu, barang-barang ini lebih terkawal berbanding selepas PRU15. Data menunjukkan ia tidak begitu,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Mas Ermieyati berhubung jaminan pihak kerajaan untuk memastikan barangan keperluan bersubsidi seperti gula, minyak peket dan beras tempatan, kembali pulih seperti sebelum PRU15. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas