Berita

SPRM peroleh semula wang, aset 1MDB berjumlah RM23 juta

- Diterbit 8 Februari 2024 1:30 PM MYT

SEBANYAK lebih RM23 juta hasil daripada pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk wang dan aset berjaya diperoleh semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh 2023 dan bulan ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan wang dan aset berkenaan berjaya diperoleh menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan sukarela lima individu dan ia telah dipulangkan semula kepada kerajaan.

Kenyataan itu turut memaklumkan kejayaan memperoleh semula wang tersebut adalah susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada 2023 dan terbaru adalah pada Isnin lepas (5 Feb).

“Untuk makluman, wang berjumlah RM556,275.64 telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Nurzahid Taib, pegawai 1MDB, yang telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated, yang individu ini mempunyai kepentingan.

“Wang ini telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu berkata pada 29 Sept tahun lepas, wang berjumlah US$972,251.25 atau bersamaan RM4,551,399.45 telah dipulangkan kepada kerajaan menerusi penyerahan secara sukarela Pegawai Khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Effendi menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

Pada 8 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur juga telah memberikan perintah melucut hak tiga unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri Najib, Mohammad Kamal Yan Yahaya.

SPRM berkata individu berkenaan yang mempunyai kepentingan, telah menerima dana 1MDB menerusi projek Magnolia, Maximus dan Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Ltd di BSI Bank, Singapura.

“Ketiga-tiga proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

“Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, pada 5 Feb 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 dilucut hak kepada SPRM,” menurut kenyataan itu.

SPRM memaklumkan permohonan lucut hak itu dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 AMLATFPUAA 2001.

Suruhanjaya itu memaklumkan secara keseluruhannya dari 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas