Utama

SMK Seri Permaisuri antara 13 Sekolah Angkat MMU

SMK Seri Permaisuri antara sekolah terpilih sebagai Sekolah Angkat MMU di bawah Program Sekolah Generasi Multimedia.
- Diterbit 3 April 2022 7:08 AM MYT

UNIVERSITI Multimedia (MMU) meluaskan jalinan strategik dan kolaborasinya dengan sekolahsekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan melantik 13 buah sekolah baharu sebagai Sekolah Angkat MMU di bawah Program Sekolah Generasi Multimedia.

Menurut Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Maznah Abu Bakar, program berkenaan bertujuan merealisasikan hasrat negara untuk mewujudkan generasi masa hadapan yang fasih digital.

“Program ini akan meningkatkan lagi tahap penguasaan kemahiran para pelajar melalui Transformasi Pendidikan Digital, Kebitaraan STEM dan Inovasi, serta Pendedahan Kerjaya Berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Sekolah-sekolah ini bertuah kerana berpeluang mendapat mentor cemerlang dalam pendidikan digital iaitu MMU yang telah terbukti berjaya menghasilkan graduan yang menepati kehendak era digital dan pasaran kerja masa kini,” katanya pada Majlis Perasmian Program Sekolah Angkat MMU di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Permaisuri, Kuala Lumpur; SMK Seri Saujana, Kuala Lumpur; SMK Bukit Jalil, Kuala Lumpur; SMK Putra Perdana, Selangor; SMK Seri Kembangan, Selangor; SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor; SMK Agama Slim River, Perak; SMK Seri Perak, Perak; SMK Changlun, Kedah; SMK Seberang Jaya Pulau Pinang; SMK Dang Anum, Melaka; Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Syah, Melaka; dan SM Sains Muar, Johor.

Turut hadir, Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Beliau mengumumkan MMU akan menyalurkan sebanyak RM5,000 kepada setiap sekolah bagi membantu pembangunan dan pemantapan infrastruktur yang berkaitan dengan teknologi digital di bawah program berkenaan.

Dalam pada itu, guru bimbingan kaunseling SMK Seberang Jaya, Khairul Nidzar Mohd Zaki berkata program ini dapat memberi pendedahan luas kepada para pelajar tentang ilmu dan kemahiran baharu era digital khususnya dalam bidang ICT, multimedia dan kejuruteraan.

“Para pelajar akan dapat bimbingan secara hands on oleh pensyarah MMU yang akan turun padang ke sekolah kami,” tambahnya yang menganggap ia adalah satu peluang keemasan untuk warga sekolah menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dari MMU.

Pengetua SMK Seri Permaisuri Kuala Lumpur, Rozita Puteh pula memberitahu penglibatan sekolahnya dalam program ini adalah kesinambungan daripada program-program bersama MMU sejak 2019.

“Sumbangan MMU sangat besar dalam usaha melahirkan generasi fasih digital dari bangku sekolah lagi. Sekolah kami telah berjaya memenangi tempat pertama Project Based-Learning 2019 serta mewujudkan kandungan e-Evidence sekolah selain mempunyai Kelab Multimedia,” ujarnya.

Bagi Guru Kaunseling, Tan Seok Koon, Program Sekolah Angkat MMU bakal menarik minat lebih ramai pelajar dalam bidang ICT dan multimedia kerana mereka berpeluang untuk meneroka kemudahan-kemudahan canggih yang ditawarkan oleh MMU. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas