Selebriti

“Setinggi mana pun kita, tetaplah jaga adab” – Salwa Abdul Rahman

|SALWA harap masyarakat menggunakan media sosial untuk kebaikan|ANTARA rahsia kebahagiaan Salwa dan suami adalah saling menyokong antara satu sama lain.|
- Diterbit 9 Mac 2022 7:43 AM MYT

DULU ucapan lisan, bahasa tubuh, reaksi wajah menjadi medium utama dalam berkomunikasi.

Malah tiada ruang ulasan atau kritikan langsung dapat diberikan.

Kini, semuanya telah berubah apabila media sosial menjadi trend yang banyak mempengaruhi corak kehidupan masyarakat.

Apa yang menyedihkan, ada sesetengah netizen sanggup menjadikan media sosial sebagai ‘medan peperangan’ apabila timbulnya rasa tidak puas hati.

Penyanyi era 1980-an, Datin Salwa Abdul Rahman, 52, mengakui kecewa dengan sikap sesetengah netizen yang menyalahgunakan media sosial.

“Sebut tentang media sosial, ada sudut positif dan negatif. Sepatutnya ia digunakan untuk kebaikan, tapi ada juga yang salah guna.

“Masyarakat kita majoriti Islam, jadi apabila berlaku ‘peperangan’ dan berbalah sesama sendiri dalam media sosial, sudah tentu ia agak sensitif.

“Cuma apabila mereka sanggup ‘berperang’ dalam media sosial disebabkan berlaku salah faham, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Begitu juga apabila ada suami atau isteri yang suka membuka kisah rumah tangga dalam media sosial. Rasanya perselisihan dalam perkahwinan tidak elok ‘dijaja’ untuk tatapan semua orang,” katanya kepada Wilayahku.

SALWA harap masyarakat menggunakan media sosial untuk kebaikan

Bagi Salwa, satu kerugian apabila peranan media sosial tidak digunakan untuk kebaikan terutamanya dalam pembangunan diri.

“Gunakanlah untuk kebaikan seperti menyebarkan info-info agama. Misalnya tentang Israk Mikraj baru-baru ini. Orang yang lupa akan ingat hari berkenaan apabila disebarkan dalam medium tersebut.

“Dalam masa yang sama, alangkah lebih baik mereka menggunakan media sosial untuk memajukan diri sendiri dalam bidang masing-masing,” ujarnya.

Katanya lagi, ibu bapa zaman dahulu sentiasa menekankan tentang adab dan budi bahasa. Walaupun zaman moden dan teknologi canggih, dua elemen ini tetap kena ada dalam diri.

Isu ‘lapar’ publisiti… “ Itu hak masing-masing”

Pelantun lagu Kembalikanlah Cintamu dan Jangan Malu-Malu juga berharap masyarakat tidak mudah menghakimi usaha sesetengah masyarakat yang sanggup melakukan apa sahaja demi meraih populariti dalam media sosial.

Isu ‘lapar’ publisiti ini muncul apabila terdapat usahawan yang sengaja mencipta kontroversi atau konten untuk menjual produk.

“Bagi saya, itu hak masing-masing. Jangan mudah kecam atau menghukum mereka kerana kita tidak tahu situasi sebenar yang berlaku.

“Sejak pandemik COVID-19 menyerang negara, ramai yang susah. Ada yang hilang pekerjaan dan pendapatan, bisnes jatuh dan bermacam-macam lagi dugaan yang dihadapi.

“Melihat situasi ini, saya percaya, mereka pasti mempunyai alasan tersendiri kenapa cipta kontroversi demi publisiti dan jual produk,” ujarnya lagi memahami kedaaan sukar yang sedang dilalui ramai orang ketika ini.

ANTARA rahsia kebahagiaan Salwa dan suami adalah saling menyokong antara satu sama lain.

“Suami bukan kaki perempuan”

Tiga dekad hidup berumahtangga bersama suami tercinta yang juga bekas pemain bola Sepak Kuala Lumpur, Datuk Subadron Abdul Aziz, 56, Salwa bersyukur dikurniakan suami yang baik.

“Saya bersyukur suami bukan kaki perempuan, jadi saya tak perlu pening kepala. Saya tahu, ramai yang sukakan Abang Bad (panggilan untuk Subadron).

“Andai ada sifat itu, mudah sesebuah rumah tangga runtuh hingga bercerai-berai. Tidak menafikan, ada juga rakan saya ditimpa nasib begitu.

“Disebabkan itu, saya bersyukur dikurniakan pasangan seperti abang Subadron. Dia tidak suka keluar melepak. Masanya lebih banyak dihabiskan di rumah bersama keluarga,” katanya yang menyokong usaha suaminya yang bakal membina stadium bola sepak bagi merancakkan lagi sukan itu.

“Alhamdulillah, impiannya untuk membina stadium bakal menjadi kenyataan apabila tanah empat ekar sudah pun dibeli.

“Sebagai isteri, saya menyokong segala usaha suami kerana niatnya murni mahu memberi peluang kepada anak-anak muda menyertai sukan bola sepak menerusi Subadron Football Academy,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas