Berita

Sesi ‘town hall’ perjelas isu dalam LKAN dihidupkan semula

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 2 Disember 2023 4:00 AM MYT

KERAJAAN akan menghidupkan semula sesi ‘town hall’ atau dialog awam yang akan menjadi platform kepada kementerian dan ketua setiausaha (KSU) memperjelas isu-isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melaksanakan sesi berkenaan bagi membolehkan KSU memperjelas tindakan yang telah diambil terhadap isu dibangkitkan itu. 

“Kita pernah buat sesi town hall, saya dah arahkan JPA laksana perkara sama… kita hidupkan balik sesi ini.

“Dengan adanya sesi town hall ini, insya-Allah kita akan maklumkan tindakan kita ambil. Saya dah arah JPA kendalikan satu sesi dan panggil KSU jawab,” katanya dalam satu wawancara sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sesi town hall susulan LKAN yang turut disertai pihak media pernah diadakan sebelum ini antaranya pada 2015, 2016 dan 2017 dengan dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, KSU, ketua jabatan dan penjawat awam. 

Pada 22 November lepas, LKAN 2022 mendedahkan sebanyak RM681.71 juta kehilangan atau kerugian wang awam membabitkan enam program kerajaan.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, dapatan itu diperoleh hasil 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion yang dilaksanakan di 14 kementerian melalui LKAN 2022.

Kerugian itu dikesan antaranya membabitkan pengurusan program penanaman padi, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mengenai arahan perbincangan LKAN diminitkan, Mohd Zuki berkata ia membuktikan Perdana Menteri serius mengenai dapatan LKAN dan tidak mahu wujud kesalahan berulang dalam perkhidmatan awam. 

Menurut Mohd Zuki, beliau akan meneliti semua laporan LKAN yang diminitkan di peringkat kementerian serta jabatan sebelum membawa laporan itu kepada pengetahuan Perdana Menteri.

Pada 6 November lepas, Anwar meminta semua ketua jabatan, ketua pengarah dan KSU meminitkan segala perbincangan membabitkan LKAN sebelum diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara.

Anwar berkata, LKAN perlu diteliti semula bagi memperbaiki tata kelola pentadbiran, selain dapat mengenal pasti dan membantu mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran negara. 

Mengenai usaha kerajaan menghapuskan rasuah dan meningkatkan tata kelola pentadbiran, Mohd Zuki berkata, kerajaan akan memperkenalkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sebagai kesinambungan kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023. 

“Hal ini membuktikan fokus Perdana Menteri kali ini bukan hanya nak tengok dari sudut penguatkuasaan bagi amalan salah laku semata-mata, atau sekadar ingin menghukum pihak yang bersalah semata-mata.

“Ia bahkan lebih daripada itu, beliau nak tengok tata kelola atau tadbir urus yang terbaik ini harus bermula daripada penjawat awam itu sendiri,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas