Berita

Hari OKU 2023 manifestasi kerajaan bangun OKU MADANI

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 2 Disember 2023 4:30 AM MYT

SAMBUTAN Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan 2023 esok merupakan manifestasi kerajaan untuk terus memberikan keutamaan kepada program dan aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan serta kesejahteraan golongan berkenaan di negara ini.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Norazaman Othman berkata ia selaras dengan tema sambutan tahun ini ‘Membangun OKU MADANI’ yang menyaksikan penganjuran pelbagai aktiviti di Padang Merdeka, Sarawak bagi memperkasakan golongan itu.

Beliau berkata sambutan berkenaan merangkumi beberapa elemen termasuk advokasi meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap positif dalam kalangan masyarakat terhadap golongan OKU.

“Selain itu, ia bagi menggalakkan kempen pendaftaran OKU untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negara ini bagi maksud merancang program serta perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta latihan.

“Seterusnya untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU selain mewujudkan kolaborasi antara agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan sukarela kebajikan bagi merancang program bagi menambahkan bilangan OKU berdaftar di negara ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 31 Okt lepas, jumlah OKU di negara ini yang telah berdaftar melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) adalah sebanyak 681,074 orang, namun menurut Norazaman, angka itu masih terlalu rendah iaitu hanya 1.8 peratus.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira satu bilion atau 15 peratus daripada populasi dunia terdiri daripada golongan OKU dan 80 peratus daripada jumlah itu berada di negara membangun.

Beliau berkata perkara itu antara lain berlaku kerana terdapat pembatasan terhadap definisi OKU yang menyebabkan keciciran bilangan yang termasuk dalam kategori itu, selain kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat khususnya waris OKU untuk mendaftar.

Sementara itu, Norazaman berkata sebanyak tujuh anugerah akan diumumkan pada sambutan Hari OKU 2023 dalam usaha menzahirkan pengiktirafan kerajaan tehadap individu, badan bukan kerajan (NGO) atau majikan yang mempunyai iltizam bagi kecemerlangan OKU dalam negara ini.

Antaranya Anugerah Khas OKU, Anugerah Khas Ibu Bapa Mithali OKU, Anugerah Persatuan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU Cemerlang, Anugerah Majikan Prihatin (Swasta), Anugerah Khas Job Coach, Anugerah Khas Pusat Jagaan OKU Swasta dan Anugerah Khas Pekerja OKU Madani.

Norazaman berkata sambutan itu juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, Fun Walk, permainan tradisional, 30 reruai pameran dan jualan produk OKU, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, pendaftaran OKU, mini karnival kerjaya, Talent Time dan banyak lagi.

Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai terutama golongan OKU untuk memeriahkan sambutan sekali gus berperanan sebagai sistem sokongan untuk membantu dalam pembangunan komuniti itu di negara ini.

Malaysia adalah antara negara yang komited untuk meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CPRD) dengan mengkategori OKU kepada tujuh kategori utama iaitu pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan ketidakupayaan pelbagai.

Sambutan Hari OKU di peringkat antarabangsa atau International Day of Persons with Disablities disambut tahun ini dengan tema ‘United in action to rescue and achieve the SDGs for, with and by persons with disabilities’. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas