Berita

Sesi pemberian sumbangan Hari Raya Puspanita berlangsung di wilayah penguatkuasaan PKPP

- Diterbit 11 Mei 2021 2:40 PM MYT

SESI pemberian sumbangan Hari Raya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) diadakan di Putrajaya, yang merupakan wilayah di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mengulas dakwaan kononnya berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam sesi itu,  Mohd Zuki berkata pelaksanaan SOP PKPP sebelum 10 Mei, membenarkan penganjuran majlis sosial dengan pematuhan SOP yang ketat.

Beliau yang juga Penasihat Puspanita menjelaskan, sesi itu berlangsung ringkas serta simbolik selama 10 minit melibatkan pemberian sumbangan kepada sembilan staf Puspanita.

“Sesi itu diadakan hari ini iaitu sehari sebelum penguatkuasaan PKP di seluruh negara esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki memuat naik beberapa gambar sesi pemberian sumbangan Hari Raya di laman twitter rasminya, dan menerima reaksi warga net kononnya berlaku perlanggaran SOP.

Mohd Zuki berkata beliau mengambil tanggungjawab perkara tersebut sekiranya terdapat perlanggaran kepada pematuhan SOP yang berkuatkuasa.

“Pihak penganjur juga telah dimaklumkan berkaitan perkara ini dan tindakan sewajarnya akan dilaksanakan,” katanya. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas