Berita

“Saya tak terdesak nak popular” – Farisha Iris

|FARISHA Iris muncul dengan lagu Hello
- Diterbit 21 Januari 2021 10:00 PM MYT

PENYANYI yang juga peserta rancangan Big Stage 2020, Farisha Iris mengaku dirinya tidak terdesak dalam soal populariti.

Bagi Farisha atau nama sebenarnya Farisha Asmadi,22, apa yang lebih penting adalah usaha gigih untuk terus berjaya dalam nyanyian. 

“Saya tak terlalu mengejar ke arah itu atau terdesak nak popular. Kalau popular itu datang, saya anggap ia rezeki. Saya akan terus berusaha dan percaya dengan usaha gigih, kejayaan akan dapat dicapai. 

“Lagi pula macam sekarang saya ada komitmen lain dibuat iaitu menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam di UiTM, Shah Alam. Jadi, dalam masa sama memang kena fokus belajar juga,” katanya yang kini muncul dengan lagu Hello yang merupakan lagu tema drama Hello, Jangan Tapau Cintaku (TV3) lakonan  Nafiz Muaz, Elisya Sandha dan Eyka Farhana. 

“Saya anggap ini adalah permulaan yang bagus untuk lagu Hello untuk dikenali ramai. Malah, ia juga satu bentuk promosi buat lagu saya kepada penonton drama tempatan.

“Jika ada rezeki, mungkin lagu ini juga boleh pergi jauh dan stesen radio boleh berterusan memainkan lagu ini.

“Lagi pula, jalan cerita lagu ini sama seperti jalan cerita drama. Ia sedikit sebanyak boleh menarik perhatian penonton dan pendengar,” katanya yang pernah menyertai pertandingan nyanyian pada usia 12 tahun menerusi program Idola Kecil 2011.

FARISHA Iris muncul dengan lagu Hello

Hello” yang diterbitkan secara usahasama oleh syarikat rakaman Nova Music dan Seventeen Eleven Music ini adalah ciptaan komposer terkenal, Audi Mok dan Shazee Ishak manakala lirik ditulis oleh Arisz Ab Rahman.

“Ini adalah single keempat saya. Sekali lagi saya merakamkan lagu berentak pop sama seperti single sebelum ini. Apa saya perasan, peminat sekarang pun sukakan genre pop. 

“Jadi, apabila saya merakamkan lagu ini, saya berasakan orang boleh terima. Apatah lagi lagu ini sangat mesra telinga dan pasti mudah diterima. Pendek kata ia bukan lagu berat dan sesuai untuk semua.

“Kalau nak cakap genre yang diminati, diakui saya sukakan lagu balada kerana membesar dengan lagu-lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza. 

“Secara tak langsung ia mempengaruhi minat saya. Tapi, apabila saya merakamkan lagu, ternyata rakaman lagu pop menjadi genre yang dikaitkan dengan diri saya.

“Kebetulan pula dari dulu sehingga sekarang, memang selalu dapat lagu bergenre pop. Jadi, saya anggap mungkin komposer dan penerbit berasakan vokal saya lebih sesuai dan kena dengan lagu pop.

“In Sya Allah, kalau ada peluang dan rezeki lain, saya mahu mencuba merakamkan lagu balada pula selepas ini,” katanya lagi.

Single terbaru Hello nyanyian Farisha Iris ini dilancarkan di semua pelantar muzik digital pada hari ini, Jumaat. 

Video lirik lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas