Berita

“Saya doakan individu itu diberi hidayah” – Siti Nurhaliza

- Diterbit 27 Mac 2024 1:00 PM MYT

“Saya doakan individu itu diberi hidayah.” Demikian kata Datuk Seri Siti Nurhaliza sebaik ditanya mengenai dakwaan seorang individu kononnya beliau menggunakan air mata bagi meraih simpati.

Penyanyi kesayangan ramai itu berkata, beliau tidak faham niat sebenar pihak berkenaan yang bagaikan terus mencari salah tanpa sebab munasabah.

Tuturnya, air mata yang jatuh setiap kali berkongsi kisah penderitaan penduduk Gaza ialah kerana mendapat maklumat harian mengenai apa yang dilalui oleh mereka.

“Bagi saya, biarlah saya dan Allah sahaja yang tahu. Dulu mungkin kita tak terasa sangat. Sekarang saya dah terlibat dalam suasana ini apabila ada keluarga dan anak-anak yang belajar di sekolah Afwa Alaafiyah.

“Bila saya tatap gambar dan video yang dikongsi wakil kami di sana saya memang sebak dan susah hati bila lihat perjuangan mereka setiap hari untuk meneruskan hidup.

“Saya seorang ibu, bila tengok kanak-kanak menderita dan berdepan ancama saya tersentuh kerana terkenangkan Aafiyah dan Afwa.

“Bayangkan anak-anak seusia mereka dan kalau anak-anak saya sendiri di sana memang satu yang sangat sukar,” katanya.

Baru-baru ini di ruangan X ada dakwaan secara sinikal menuduh Siti Nurhaliza terpaksa menangis untuk meriah simpati bagi mendapatkan sumbangan orang ramai dalam misi kebajikan penyanyi itu.

Enggan melayan perkara seperti itu, Siti Nurhaliza memilih untuk memberi fokus kepada rutin harian yang lebih penting termasuk urusan kerjayanya.

Penyanyi lagu Menyapa Dunia itu ditemui pada Majlis Iftar Nurjiwa Prihatin anjuran kolaborasi Yayasan Nurjiwa dan Yayasan Prihatin Nasional yang menyantuni lebih 100 penerima sumbangan barangan keperluan berserta duit raya.

Mengenai sekeping foto dirinya yang ditular kononnya ditahan polis, Siti Nurhaliza ketawa dan tidak sangka dirinya turut menjadi mangsa seperti rakan selebriti lain.

“Macam-macam mereka ini, tak ada kerja betul. Saya pun baru tahu ini. Tak perlulah hal-hal seperti ini,” katanya.

Berkongsi keadaan terkini wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza, Siti Nurhaliza melahirkan rasa syukur Allah terus melindungi Dr Mohanad dari sebarang ancaman bahaya.

“Setiap malam saya dan suami Datuk Khalid akan berdebar menanti update dari Dr Mohanad dan kami bersyukur dia masih selamat dan dapat terus menyalurkan sumbangan kepada rakyat di sana.

“Saya sangat terharu kerana bantuan yang disalurkan dapat membantu kira-kira 10,000 penduduk di sana termasuk untuk kelengkapan dan makanan.

“Paling bersyukur kami dimaklumkan mereka juga sudah berjaya menyimpan stok makanan selama sebulan sepanjang Ramadan ini.

“Tidak ada ayam, ikan atau daging, tetapi Alhamdulillah ada beberapa jenis kekacang yang digunakan untuk menyediakan juadah mengisi perut waktu berbuka dan sahur.

“Kelengkapan pakaian dan selimut juga dapat disediakan memandangkan musim sejuk di sana,” katanya.

Siti Nurhaliza melahirkan penghargaan kepada semua penyumbang dan rakyat Malaysia yang perihatin sehingga membantu Yayasan Nurjiwa meneruskan bantuan kepada saudara kita di sana.

Beliau berkata, usaha itu tidak dapat dilakukan sendiri oleh Yayasan Nurjiwa tanpa sokongan dan sumbangan daripada semua pihak.  -WILAYAHKU

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas