Berita

Satu gerakan nasional perlu diwujudkan dalam merakyatkan agenda Malaysia MADANI

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Januari 2024 4:50 PM MYT

KERAJAAN Perpaduan perlu mewujudkan satu gerakan nasional dalam usaha merakyatkan konsep dan agenda Malaysia MADANI, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Ismail Yusop.

Beliau berkata langkah berkenaan boleh dilaksanakan menerusi program pendidikan dan latihan kenegaraan bagi memastikan rakyat dapat memahami dengan baik tentang konsep dan pelaksanaan Malaysia MADANI serta menghayatinya.

Menurut Ismail ini kerana Malaysia MADANI sewajarnya tidak dilihat dari kaca mata politik yang sempit, sebaliknya sebagai gagasan hala tuju masa depan negara milik semua pihak dan rakyat dengan penuh amanah serta iltizam untuk menjayakannya.

“Enam teras Malaysia MADANI perlu difahami, dihayati dan dijelmakan sebagai budaya dalam kehidupan setiap warga Malaysia,” katanya dalam artikel bertajuk Setahun Pelaksanaan Malaysia MADANI: Cabaran dan Harapan yang diedarkan kepada media hari ini.

Saranan itu diutarakan beliau sempena genap setahun pelancaran kerangka dasar baharu, ‘Malaysia MADANI’ pada 19 Jan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertujuan mencipta lonjakan baharu kepada negara dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa maju dan sejahtera.

Dalam membangun Malaysia MADANI yang akan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan ke arah membina negara bangsa yang mampu mencapai ketamadunan tinggi, terdapat enam tonggak dasar yang ditetapkan yakni, M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya Cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Merujuk kepada MADANI, Ismail berkata ia merupakan suatu gagasan idea dan cerminan citra Anwar berpaksikan pengalaman panjangnya dalam politik, kepimpinan dan keprihatinannya terhadap rakyat sejak muda sehinggalah beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Bagaimanapun menurut Ismail, pelaksanaan konsep berkenaan yang digerakkan dengan penuh iltizam oleh Anwar bersama Kerajaan Perpaduan pimpinannya bukanlah hanya satu tema atau slogan daripada seorang Perdana Menteri tetapi suatu gagasan dan falsafah sosial untuk membina negara bangsa bersama seluruh rakyat.

“Hakikatnya, Malaysia MADANI adalah kesinambungan daripada mata rantai perjuangan sejak dari awal kemerdekaan, berteraskan sendi utuh yang termaktub dalam Perlembagaan, mengambil kira kearifan lokal dan budaya serta latar khazanah sejarah negara yang telah subur membumi sejak dahulu.

“Ia jelas terangkum, mengiktiraf polisi dan kecemerlangan negara yang menjadikan kita hari ini, kesan daripada perjuangan kepimpinan terdahulu,” katanya.

Bagi penganalisis sosiopolitik Prof Madya Dr Awang Azman Pawi pula, beliau berpandangan sokongan dan kebersamaan semua lapisan masyarakat perlu bagi memastikan keberkesanan kejayaan Malaysia MADANI dan beban pelaksanaannya tidak hanya atas bahu Perdana Menteri serta barisan kepimpinannya.

Justeru,  Awang Azman bersetuju dengan idea Ismail mengenai keperluan mewujudkan gerakan nasional bagi merakyatkan konsep, kefahaman dan penghayatan Malaysia MADANI, namun ia perlu dilakukan berdasarkan kepada kesesuaian peringkat umur.

“Konsep Malaysia MADANI masih belum difahami dan dihayati secara menyeluruh oleh semua peringkat kerana kebanyakannya lebih memahami konsep tersebut yang dikaitkan dengan bantuan, iaitu eMADANI dan bukannya mengapa ia perlu dilaksanakan.

“Saya melihat pencerahan mengenainya amat penting dilakukan secara lebih meluas mengikut peringkat umur, misalnya di peringkat sekolah boleh dilakukan menerusi komik untuk menarik minat mereka mengetahuinya manakala berbentuk artikel majalah bagi golongan dewasa,” katanya kepada Bernama.

Pemahaman dan penghayatan konsep berkenaan dilihat Awang Azman amat penting bagi menarik kebersamaan masyarakat meliputi pelbagai lapisan sama ada pemimpin, agensi kerajaan, swasta dan keseluruhannya dalam memastikan matlamat merealisasikan negara bangsa yang maju dan sejahtera tanpa ada yang terpinggir dapat dicapai.

“Sebenarnya, matlamat Perdana Menteri untuk mencipta lonjakan baharu terhadap negara termasuk dalam usaha membasmi kemiskinan, menstruktur semula ekonomi serta memulih dan menjana ekonomi negara menerusi konsep Malaysia MADANI berada di landasan tepat.

“Bagaimanapun, untuk memastikan keberhasilannya, ia memerlukan komitmen dan penglibatan semua pihak, seluruh masyarakat dan bukannya ‘one man show’ (berseorangan),” katanya.

Perdana Menteri pada 19 Jan tahun lepas, memperkenalkan konsep ‘Malaysia MADANI’ yang bersifat inklusif merangkumi semua golongan dan kaum dalam usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas