Berita

Penjawat awam perlu sebar luas konsep Malaysia MADANI

- Diterbit 21 Januari 2024 5:20 PM MYT

PENJAWAT awam perlu memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan konsep Malaysia MADANI bagi memastikan rakyat dapat memahami dan menghayatinya dengan lebih menyeluruh, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Menurutnya konsep yang diperkenalkan setahun lalu itu masih belum mencapai tahap memuaskan berikutan rata-rata masyarakat belum memahami dan mendalami perkara itu.

“Walaupun sudah setahun konsep MADANI diperkenalkan, kita masih memerlukan lagi masa untuk  menyebarkan erti MADANI kepada masyarakat terutama kakitangan kerajaan yang memainkan peranan penting dalam (menggerakkan) kerajaan MADANI,” katanya ketika ditemui pada program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Perdana Menteri pada 19 Jan tahun lepas, memperkenalkan konsep ‘Malaysia MADANI’ yang bersifat inklusif merangkumi semua golongan dan kaum dalam usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Konsep Malaysia MADANI memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan ke arah membina negara bangsa yang mampu mencapai ketamadunan tinggi melalui enam tonggak dasar yakni, M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya Cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berharap setiap individu tidak mengira latar belakang dari seluruh pelosok negara melibatkan diri dalam mencapai misi konsep Malaysia  MADANI.

“MADANI  bermaksud ketamadunan untuk mengangkat Malaysia ke satu tahap yang lebih baik, jadi saya rasa semua rakyat mahu negara sampai ke satu tahap lebih tinggi dan sudah tentu memerlukan penglibatan semua dalam memastikan konsep MADANI itu tercapai,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas