Berita

Inisiatif kerajaan beri kelegaan kepada masyarakat

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 10 Mei 2024 8:45 AM MYT

RAKYAT meluahkan reaksi positif terhadap segala inisiatif yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu kelangsungan hidup ketika ekonomi yang tidak menentu  serta peningkatan kos sara hidup masa kini.

Kesungguhan Perdana Menteri jelas membuktikan kesungguhan beliau mahu menghapuskan miskin tegar sekali gus memberikan rakyat kuasa beli di samping memacu ekonomi negara ke arah yang lebih baik pada masa hadapan yang mampu menarik minat lebih ramai pelabur antarabangsa di saat ekonomi dunia yang kurang stabil.

Tinjauan Wilayahku mendapati orang ramai berpuas hati dengan inisiatif seperti kenaikan gaji penjawat awam, kemudahan Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dasar gaji progresif serta peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Kakitangan kerajaan, Mohammad Akmal Zaiful Azman berkata keputusan menaikkan gaji penjawat awam adalah langkah progresif diambil kerajaan untuk membangun kelestarian ekonomi negara.

“Langkah ini bukan sekadar meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tetapi taraf hidup penjawat awam dan membantu mengurangkan tekanan kewangan yang dialami terutama dalam konteks kelangsungan hidup.

“Masa kini ramai yang dibebani dengan peningkatan kos sara hidup, saya percaya, dengan kenaikan gaji ini juga memberi kami kelebihan untuk berbelanja.

“Langkah-langkah yang diambil Perdana Menteri itu juga dilihat akan membawa impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, peniaga restoran, Mohd Firdaus Mohd Rozis terus menyokong usaha yang dilaksanakan kerajaan dan percaya ia mampu merancakkan ekonomi.

“Sebagai peniaga, kita hanya tertumpu kepada kuasa beli orang ramai, bila orang ramai beli, maka banyaklah permintaannya, daripada situ akan merancakkan ekonomi domestik terutamanya.

“Pada saya, ia antara langkah terbaik di dalam membangunkan ekonomi negara di samping membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang menghimpit rakyat masa kini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas