Berita

Sasar 2 juta pelancong asing ke Malaysia

- Diterbit 4 Jun 2022 4:00 AM MYT

SATU jalinan kerjasama baharu telah termeterai iaitu Memorandum Kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan platform agensi pelancongan dalam talian, Expedia Group Media Solution bagi menyokong usaha Malaysia mempromosikan pelancongan ke negara ini.

Kerjasama strategik yang termeterai pada 26 Mei (Khamis) ini sejajar dengan strategi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memacu kemasukan pelancong dari tiga negara iaitu Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kemasukan pelancong dari tiga negara tersebut akan membantu memperkenalkan keunikan Malaysia selain mempromosikan kepelbagaian penginapan kepada lebih 750 juta pelancong Kumpulan Expedia di seluruh dunia.

“Kerjasama terdahulu kami dengan Expedia dari Ogos 2019 hingga Februari 2020 berjaya memperoleh seramai 156,573 pelancong dari UK, AS dan Jepun melalui platform itu dalam tempoh enam bulan.

“Jalinan persefahaman ini juga penting untuk menarik pelancong seiring peralihan negara ke fasa endemik,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bertempat di Hotel Westin, Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Majlis tersebut menyaksikan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab yang mewakil Tourism Malaysia bersama Naib Presiden Operasi dan Perkhidmatan Expedia Group Media Solutions, Doug Park bertukar dokumen penghargaan dan sokongan bersama untuk perkongsian strategik itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata Tourism Malaysia menyasarkan dua juta pelancong pada tahun ini dan telah menerima satu juta pengembara sejak pembukaan semula pintu sempadan pada 1 April lalu.

“Seperti anda semua tahu, Malaysia antara beberapa negara yang melonggarkan sekatan bagi pelancongan dalam negara. Justeru itu, saya berharap perkembangan yang memberangsangkan ini akan menarik perhatian pelancong untuk melawat Malaysia sebagai destinasi percutian seterusnya,” tambahnya.

Katanya lagi, Tourism Malaysia akan memperhebatkan Kempen Cuti-Cuti Malaysia dengan platform ini melalui pelbagai cara termasuk elektronik, cetak dan digital meliputi destinasi pelancongan di Malaysia. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas