Berita

Fitri fokus untuk sertai tim kebangsaan

FITRI (kanan) dalam Kejohanan SUKMA 2018 lalu.
- Diterbit 4 Jun 2022 4:00 AM MYT

ATLET silat Wilayah Persekutuan, Muhammad Fitri Naim Azmi, 23, menyambut baik hasrat kerajaan untuk meneruskan pembinaan Kompleks Persilatan Negara di Kuala Lumpur yang tertangguh sejak 2018.

Mengulas tentang hal tersebut, dia yang juga merupakan atlet pelapis kebangsaan berkata pembinaan kompleks tersebut wajar memandangkan sukan silat sesuatu yang tidak asing lagi di Asia.

“Kita sendiri dapat lihat silat berkembang maju dan pencapaian dalam kejohanan juga semakin meningkat antaranya atlet Wilayah Persekutuan, Khairi Adib Azhar juga berjaya mendapatkan pingat emas di Sukan SEA 2021 baru-baru ini.

“Dengan adanya kompleks tersebut, ia akan menjadi salah satu kebanggaan seni pertahanan diri di negara ini sekali gus ia memberi semangat kepada atlet untuk terus berusaha mengharumkan nama negara,” katanya kepada Wilayahku.

Beralih kepada perkembangan terbaharunya, atlet dalam kategori Tanding E-Putra (65-70 kilogram) ini fokus kepada dua kejohanan besar yang akan berlangsung pada bulan Julai dan September ini.

“AUG Games Thailand dan SUKMA adalah tumpuan saya buat masa ini. Sepatutnya ada lagi satu kejohanan iaitu SUKIPT tapi saya tak dapat turut serta sebab bertindih dengan jadual pada Julai.

“Ini merupakan tahun akhir saya sertai SUKMA dan kalau boleh saya ingin mendapatkan pingat emas sebagai kenangan mengakhiri kejohanan tersebut,” ujarnya yang hanya bertahan pada peringkat suku akhir pada SUKMA 2018 lalu.

Mula bergiat aktif dalam silat sejak tahun 2015, dia yang juga merupakan pelajar jurusan Ijazah Sains Sukan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memasang impian untuk melayakkan diri ke dalam tim kebangsaan.

“Untuk ke arah itu, saya perlu bersiap sedia dan melakukan lebih banyak latihan agar penampilan pada pemilihan itu nanti akan memberi kejayaan kepada saya,” ujarnya yang pernah mengikuti sesi pemilihan pada tahun 2019.

Biarpun sibuk dengan silat namun anak bongsu daripada enam orang adik-beradik ini yang sedang menjalani latihan industri di Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) mengakui dia perlu bijak membahagikan masa antara bidang sukan dan pelajaran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas