Saranan FIFA tepati sentimen negara anggota – Hamidin
DATUK HAMIDIN MOHD AMIN

Saranan FIFA tepati sentimen negara anggota – Hamidin

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan ucapan dasar Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino menepati sentimen negara anggota yang mahukan bola sepak tidak dijadikan hak eksklusif sesebuah benua atau negara tertentu.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, wabak COVID-19, sebenarnya telah membuka mata warga bola sepak dunia untuk bermuhasabah diri dan mencari jalan menjadikan sukan itu sebagai satu industri telus yang menggalakkan nilai-nilai murni.

“Infantino menekankan kesihatan sebagai agenda utama yang mengatasi kepentingan bola sepak tetapi pada masa sama mengajak semua negara anggotanya untuk mencari jalan agar bola sepak bersifat sejagat,” kata Hamidin dipetik dalam hantaran terbaharu di laman web rasmi FAM, @FAMalaysiaOfficial hari ini.

Infantino dalam ucapannya pada Kongres FIFA ke-70 yang diadakan secara maya buat julung kalinya semalam, mengajak seluruh warga bola sepak dunia menjadi ejen perubahan dan reformasi bagi membentuk masa depan sukan bola sepak agar bebas daripada rasuah, unsur perkauman dan nilai-nilai toksik.

Kongres secara maya bermula pukul 9 malam waktu Malaysia berlangsung selama hampir dua jam itu turut disertai Naib Presiden FAM Datuk S.Sivasundaram dan Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam.

Kongres FIFA ke-70 pada asalnya dijadualkan berlangsung di Addis Ababa, Ethiopia, pada 5 Jun lepas tetapi ditangguhkan ekoran penularan pandemik COVID-19.

Kenyataan laman web FAM itu juga menyebut, FIFA mengajak negara anggotanya menolak semua bentuk diskriminasi kaum, rasuah dan gejala mengatur keputusan perlawanan serta penderaan kanak-kanak dalam memastikan generasi hari ini dan akan datang bermain bola sepak dalam persekitaran yang selamat.

Infantino menggesa delegasi dari 211 negara anggotanya agar tidak berpeluk tubuh sebaliknya mencari jalan memastikan bola sepak benar-benar bersifat global.

Meletakkan sasaran hingga 2023 untuk menjadikan bola sepak bersifat global di setiap peringkat, FIFA akan memberi fokus kepada tadbir urus yang telus, pertandingan yang lebih adil serta pendidikan.

Dalam pada itu, Hamidin turut bersetuju dengan saranan Infantino agar dalam era globalisasi ini, keluarga bola sepak dunia memikirkan cara terbaik agar Piala Dunia FIFA dan semua pertandingan anjurannya bukan dikuasai kelompok pasukan negara atau kelab yang kecil.

“Jika hari ini hanya 10 pasukan dianggap mampu untuk menjulang Piala Dunia FIFA, kita harus memikirkan bagaimana nanti mencerahkan prospek untuk 50 negara mendapat peluang yang sama.

“Apakah jumlah pertandingan yang ada sekarang memadai, atau haruskah ia dikurangkan atau ditambah? Saya percaya gesaan Infantino ini hadir tepat pada waktunya di saat semua kejohanan antarabangsa ditunda gara-gara wabak COVID-19,” katanya.

CATEGORIES