Berita

Aidilfitri disambut meriah di Labuan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 12 April 2024 8:55 PM MYT

AIDILFITRI disambut meriah di 27 kampung yang terdapat di pulau bebas cukai ini dengan tradisi kunjung-mengunjung dan penganjuran rumah terbuka termasuk oleh ketua kampung serta pihak korporat.

Tidak ketinggalan Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman yang meneruskan tradisi rumah terbuka dengan mengalu-alukan kedatangan tetamu bukan sahaja dari Labuan, malah dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Hari ini, Suhaili turut menerima kunjungan keluarga Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong, di kediamannya di Jalan Jumidar Buyong.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua tetamu yang datang dari jauh dan dekat, daripada pelbagai kaum dan latar belakang agama untuk sama-sama memeriahkan Aidilfitri ini.

“Penghargaan turut ditujukan kepada Datuk Seri Safar Untong dan keluarga kerana sudi memeriahkan sambutan hari raya bersama kami pada hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Suhaili berkata beliau juga akan mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri tahunannya di dewan konvensyen Financial Park pada 26 April ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa dijangka hadir bagi memeriahkan lagi majlis rumah terbuka itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas