Berita

RAJA AFIQ Sah Suami Kepada Anggota Polis

RAJA Afiq kini sah bergelar suami kepada anggota Polis, Soffwany
- Diterbit 19 September 2020 5:23 AM MYT

PELAKON popular Raja Afiq,26, kini sah  suami kepada anggota polis bergelar penyanyi, Soffwany Yusoff, 31, dengan sekali lafaz. 

Pasangan suami isteri ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohamad Yusoff Lebai Hamzah kira kira jam 9 pagi tadi disaksikan 18 orang tetamu, di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, Selangor.

Pada majlis itu, Raja Afiq menyerahkan wang hantaran berjumlah RM15,000, mas kahwin sebanyak RM1101 beserta lima dulang dan dibalas dengan tujuh dulang pihak perempuan.

“Alhamdulillah biarpun perkenalan kami singkat, jodoh itu kuat mendekati kami. Kami berkenalan sejak hujung tahun lalu.  Rapat dalam awal tahun ini.

“Cuma selepas mengikat pertunangan sekitar awal Mac lalu, kami sepatutnya merancang pernikahan Ogos lalu. Tapi banyak benda yang tergendala rentetan Perintah Kawalan Pergerakan dan seterusnya.

“Akhirnya dianjak ke bulan ini. Semoga fasa baru kami ini akan terus membahagiakan. InsyaAllah, “ kata pelakon drama bersiri Sayangku Kapten Mukhriz ini.

SEMOGA kekal hingga ke jannah

Raja Afiq atau nama penuhnya, Raja Muhammad Afiq Raja Razali  berkenalan dengan isterinya menerusi Instagram.

Isterinya bertugas dalam Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia

“Isteri seorang yang memahami, lemah lembut dan baik. Pendek kata saya menyenanginya,” katanya.

Manakala Soffwany pula mengaku tertarik dengan sikap memahami Afiq yang membuatkan dirinya jatuh cinta. 

“Sikap Afiq ‘sweet’, selalu mengambil berat dan tidak terlalu memberi tekanan kerana saya sentiasa sibuk dengan tugasan,” katanya yang bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak mereka nanti. 

Seterusnya usai majlis nikah mereka diraikan di sebuah dewan di Plaza Jelutong.

Pasangan ini akan berbulan madu di Pulau Langkawi pada 20 September depan.

Pasangan ini dijangka mengadakan majlis bersanding pada Januari depan sama ada di KL atau Ipoh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas