Berita

‘Ruhainies tarik diri daripada StarVendors Mega Raya Festival’ – Ifa Raziah

- Diterbit 16 Mac 2024 8:30 AM MYT

PENYANYI dan usahawan popular, Ifa Raziah telah mengesahkan bahawa pelakon Ruhainies telah menarik diri daripada acara StarVendors Mega Raya Festival anjurannya.

Menerusi Instagram story miliknya, Ifa memberitahu Ruhainies mempunyai alasan tersendiri untuk tidak berniaga pada acara yang bakal berlangsung pada  29 Mac sehingga 1 April ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Anis dah lama fikir sebab Anis tak nak kerana Anis bisnes orang lain terkesan. Anis faham.

“InsyaAllah ada rezeki Anis di tempat lain. Semoga kita semua dimurahkan rezeki. InsyaAllah ada rezeki kita jumpa lagi,” jelas Ruhainies menerusi kenyataannya kepada Ifa Raziah.

Sebelum  ini, Ifa Raziah menerima kecaman hebat daripada orang ramai sehingga festival membeli-belah anjurannya, Starvendors menjadi sasaran boikot susulan pembabitan Ruhainies pada acara itu

Berikutan itu,  Ifa menjelaskan, sebagai penganjur dia tidak menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya hanya menyediakan platform untuk mereka berniaga.

“Janganlah boikot, saya tak buat salah apa pun. Saya tidak menyakiti hati sesiapa sebaliknya memberi peluang kepada orang ramai untuk berniaga saja.

“Saya muat naik video promosi Ruhainies dan Bella di media sosial, tapi ada pula peminat tegar yang marah dan minta saya gugurkan nama Ruhainies. Tak bolehlah saya buat begitu.

“Saya sudah lama kenal sejak mereka mula mencari rezeki dalam bidang seni dan berniaga di festival saya tahun ini.

“Tak adillah, kasihan artis-artis lain yang nak meniaga termasuk vendor yang mengambil bahagian tahun ini,” jelasnya.

Sejak minggu lalu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu disyaki terbabit dalam kes khalwat bersama Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara, Sabtu lalu.

Baru-baru ini, Bella hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta untuk sebutan kali pertama berhubung permohonan perceraian yang difailkan terhadap Aliff sebelum itu.

Bagaimanapun, kelibat Aliff tidak kelihatan di mahkamah untuk sebutan kes. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas