Berita

Rodzi Saad dilantik KSU Kementerian Digital

- Diterbit 9 Januari 2024 4:22 PM MYT

KETUA Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Digital.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Rodzi pelantikan itu berkuat kuasa Jumaat ini (12 Januari)

“Semoga dengan pelantikan Rodzi dapat memacu pembangunan teknologi digital negara bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan digital yang holistik, inklusif dan lestari selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi, 60, telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 34 tahun berpengalaman luas dalam pengurusan dan pentadbiran keselamatan negara meliputi pelbagai aspek termasuk sempadan, maritim serta keselamatan siber serta pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara.

Beliau yang berkelulusan Sarjana dalam bidang Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA dan Ijazah Sarjana Muda Demografi dan Kajian Kependudukan (Kepujian) dari Universiti Malaya.

Dalam rombakan kabinet Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan Kementerian Digital melalui pemisahan Kementerian Komunikasi dan Digital yang sebelum ini di bawah Fahmi Fadzil.

Anwar juga telah melantik Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Digital.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas