Berita

Rithuan dilantik sebagai CEO Perbadanan Labuan baharu

- Diterbit 19 September 2022 3:13 AM MYT

BEKAS Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Oktober 2022 hingga 30 September 2024.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pelantikan beliau menggantikan Dr Fary Akmal binti Osman yang telah berkhidmat dari 10 Julai 2019 hingga 8 Oktober 2021 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.

“Pelantikan Rithuan Mohd Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang baharu adalah selaras dengan
subseksyen 10(1) Akta Perbadanan Labuan 2001 [Akta 609],” katanya kepada pemberita pada sidang media di Menara Perbadanan Labuan, pada Isnin.

Rithuan, 54, merupakan anak kelahiran Labuan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Ekonomi dan Perakaunan).

Shahidan berkata dengan tempoh serta pengalamannya di Perbadanan Labuan selama 28 tahun mampu menerajui perbadanan itu.

“Saya percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki beliau, beliau mampu memperkukuhkan lagi tadbir urus serta fungsi Pihak Berkuasa Tempatan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan agar terus memberi faedah kepada rakyat dan kerajaan.

“Saya bagi pihak kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan ini dan selamat menjalankan tugas kepada Rithuan Mohd Ismail,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahidan turut merakamkan penghargaan dan sumbangan serta khidmat bakti Dr. Fary Akmal Osman sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas