Berita

‘Adakah Ini Mimpi’ buat kejutan di AIM23

REEDZWANN bakal mengeluarkan single ketiganya berjudul Tercipta Satu Senyuman tidak lama lagi.
- Diterbit 19 September 2022 3:30 AM MYT

MENGUNGGULI Anugerah Jualan Lagu Nada Dering Paling Tinggi pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 memberi semangat baharu buat penyanyi muda yang juga komposer dan penulis lirik, Reedzwann.

Pengiktirafan itu dianggap sebagai titik permulaan buat dirinya terus menghasilkan karya-karya terbaik dalam industri muzik sekali gus menghargai jasa baik semua pihak termasuk keluarga dan peminat yang selama ini menyokongnya.

“Saya tidak hebat tapi sokongan orang yang mendengar membuatkan lagu Adakah Ini Mimpi berjaya di AIM, saya anggap ini adalah salah satu titik permulaan untuk saya maju dalam industri muzik. Mereka adalah tulang belakang saya.

“Bagi saya, anugerah ini adalah salah satu pengiktirafan baharu dalam hidup saya dan tidak pernah jangka akan merangkul trofi di AIM. Ia sememangnya saya tujukan khas buat keluarga yang tidak putus berdoa dan memberi sokongan,” ujar anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik ini.

ADAKAH Ini Mimpi memperoleh tontonan sebanyak 30 juta di Youtube.

Dalam pada itu, dia juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada ‘Reedzwann Supporter’ (RS Team) yang sentiasa menyokong daripada tahun 2018 sehingga kini.

“Berkat kesabaran selama ini, alhamdulillah lagu Adakah Ini Mimpi telah pun mendapat tontonan sebanyak 30 juta di YouTube dan saya mampu mengukir kembali senyuman di wajah saya dan semua orang melalui anugerah ini,” jelasnya yang bakal mengeluarkan single ketiganya berjudul Tercipta Satu Senyuman. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas