Berita

DPIM Putrajaya, TERAS berkolaborasi lahirkan usahawan asnaf berilmu

Datuk Muhamad Khanafi Husin (lima dari kanan)Pengurus Besar TERAS
- Diterbit 19 September 2022 1:37 AM MYT

KEBAJIKAN kumpulan asnaf fakir dan miskin di Selangor antara perkara yang dibincangkan bersempena kunjungan ahli-ahli Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya ke pejabat Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) di Klang, Selangor, baru-baru ini.

DPIM yang diketuai oleh pengerusinya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berpuas hati dengan sambutan dan penerangan oleh Pengurus Besar TERAS, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim.

Selain itu, peranan TERAS dalam melengkapkan keperluan asasi, membangunkan keusahawanan asnaf dan memperkasa pengurusan agihan turut dibincangkan dalam pertemuan kira-kira dua jam berkenaan.

Ia termasuk kecekapan TERAS memastikan bantuan ke daerah yang dikenalpasti sampai tepat pada waktunya.

“Tujuan DPIM mengadakan kunjungan ke TERAS untuk mendapat informasi berkaitan dengan agihan secara sistematik yang dilakukan terhadap kumpulan asnaf di seluruh Selangor.

“Saya tertarik dengan kaedah yang diguna pakai dan melahirkan kekaguman kerana agihan dilakukan secara serentak kepada 35,000 keluarga secara tetap setiap bulan melalui penghantaran kotak makanan asas.

“Kelancaran sistem ini bergantung kepada gerak kerja yang cekap, pantas dan amanah kerana kesemua stok makanan untuk agihan mesti sampai tepat pada masa dan lokasinya,” ujarnya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Muhamad Khanafi Husin (lima dari kanan)Pengurus Besar TERAS, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim (empat dari kiri) di samping kakitangan TERAS dan ahli DPIM yang menyertai kunjungan ke pejabat TERAS di Klang baru-baru ini.

Kunjungan DPIM yang disertai oleh beberapa ahlinya turut disambut oleh Pengurus Sektor Pembangunan Usahawan TERAS , Fasihah Mat Radzi dan Eksekutif Pembiayaan Sektor Pembangunan Usahawan, Rohana Basiran.

Dalam kunjungan tersebut juga DPIM turut memperkenalkan rakan kongsi yang dilantik, Islah Movement & Foundation yang memiliki kemahiran mengendalikan pemasaran digital.

“DPIM ada menawarkan khidmat pemasaran digital kepada kumpulan usahawan asnaf yang berminat. Pihak TERAS pada asasnya bersetuju dan akan diadakan perbincangan lanjut dengan memberi tumpuan kepada lebih kurang 20 usahawan sebagai projek perintis.

“Melalui perkongsian kemahiran ini diharap membantu pihak TERAS membangunkan usahawan fakir melalui pelan pemasaran melalui dalam talian dengan pencapaian jualan lebih tinggi.

“Ini sekali gus meningkatkan pendapatan mereka dan tujuan mengeluarkan kumpulan asnaf fakir serta miskin akan terlaksana,” katanya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Muhamad Khanafi Husin (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Pengurus Besar TERAS, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim semasa mengadakan kunjungan ke pejabat TERAS di Klang baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Hasnul Redza menjelaskan TERAS dahulunya dikenali sebagai MAIS Zakat Sdn Bhd di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS) adalah badan pelaksana yang fokus utamanya mengagihkan bantuan kepada asnaf fakir dan miskin di beberapa daerah di Selangor yang telah dikenal pasti.

“Terdapat tiga sektor bantuan, antaranya agihan makanan termasuk beras, gula, tepung, minyak masak, kicap dan bihun kepada keluarga di samping bantuan persekolahan untuk anak-anak kumpulan yang sama.

“Nama-nama keluarga penerima telah dikenal pasti oleh LZS dengan peruntukan sehingga RM20 juta setahun.

“Selain itu, bawah sektor pembangunan usahawan, asnaf dibimbing untuk menjadi usahawan dan sasaran utama keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Mereka digalakkan berdikari, proaktif dan berkarisma melalui bantuan modal dan pemantauan berterusan. Hasilnya TERAS telah berjaya meningkatkan jumlah usahawan asnaf yang berdaya maju.

“Antara yang telah mencatat kejayaan termasuk projek Urutan Wanita dan Bayi khas untuk asnaf wanita. Selepas menghadiri latihan mereka berupaya menjana pendapatan melalui khidmat perbidanan seperti urusan wanita lepas bersalin.

“Projek My Tabib Malaya memberi fokus kepada urutan untuk lelaki, dan mereka juga diberi kemahiran khidmat bekam. Manakala Projek Cucian Fabrik pula adalah khidmat cucian terutama kusyen kenderaan, karpet, sofa dan tilam.

“Akhir sekali di bawah sektor latihan, mereka yang terpilih akan mengikuti kursus jangka pendek dari aspek teknikal dan elektif berdasarkan jenis perniagaan.

“Antara latihannya menjahit yang telah menampakkan hasil apabila menerima tempahan dari agensi, pakaian seragam sekolah untuk anak-anak asnaf fakir dan miskin.

“Manakala pusat latihan jahitan pula adalah kursus kemahiran jangka panjang dan jangka pendek untuk melahirkan usahawan jahitan dan diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)

“Kesemua asnaf yang terpilih telah dilatih sebagai usahawan menerima bantuan geran permulaan, latihan, modal pusingan dan kursus yang sesuai.

“Mereka dipantau secara berterusan kerana tujuan program adalah melahirkan ahli perniagaan yang bukan sahaja keluar daripada kemiskinan tetapi setanding dengan usahawan yang berjaya dalam perniagaan mega serta setaraf,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas