Selebriti

Remp-it 2 bakal ke Indonesia

||||
- Diterbit 26 November 2022 10:04 AM MYT

BARU sahaja ditayangkan, filem Remp-it 2 bakal ditayangkan di Indonesia.

Berita gembira ini adalah susulan ketika Farid Kamil, 41, menjayakan watak tokoh politik yang kini Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Sebagai penerbit, pengarah dan pelakon untuk filem Remp-it 2, Farid mengambil peluang mendekati pelakon dan syarikat produksi Indonesia mengenai idea filemnya itu

Farid memberitahu pihak di sana memberi respons memberangsangkan apabila dia menyatakan hasratnya untuk menayangkan filem bercorak aksi tersebut di negara berkenaan.

“Alhamdulillah, saya menerima maklum balas positif. Mereka sukakan filem ini kerana genre permotoran tidak pernah ditayangkan di Indonesia. Apabila saya bertanya sama ada peluang filem Remp-it 2 ditayangkan di seberang, mereka kata ia boleh diterima.

“Malah, ketika saya muat naik teaser Remp-it 2 di Instagram, pempengaruh media sosial banyak bercerita mengenai perlumbaan motosikal turut membantu ‘repost’,” ujarnya pada majlis pratonton Remp-it 2 di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

MAJLIS pratonton Remp-it 2


Remp-it yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri pada tahun 2006, kini kembali dengan aksi yang lebih padat dan matang.

Jika Remp-it (2006) memaparkan sebuah filem aksi sesuai zaman tersebut, Remp-it 2 kali ini menitikberatkan kandungan yang lebih matang dan menjadi sebuah filem aksi sesuai ditonton pelbagai lapisan masyarakat dan diklasifikasikan sebagai P13 oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Dunia permotoran sendiri telah melalui satu perubahan yang agak ketara sepanjang tempoh tersebut seiring berlakunya perubahan dalam dunia penerbitan filem dan selera penonton.

Remp-it 2 merupakan sambungan dari Remp-it (2006) namun, dengan kecanggihan teknologi penggambaran sekarang, semua aksi perlumbaan berlaku di siang hari. Penonton dapat menyaksikan aksi perlumbaan tersebut dengan lebih jelas.

Remp-it 2 juga mengetengahkan pelbagai jenis motosikal dari pelbagai kategori termasuk motosikal biasa seperti Y15, RS, RXZ, 12Z, motorcross, cub prix sehinggalah ke superbike.

Elemen motosikal digerakkan oleh elemen-elemen persahabatan dan kekeluargaan membuatkan Remp-it 2 sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

FKX Film menujukan filem ini kepada lagenda-lagenda sukan permotoran Malaysia yang telah banyak mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Perjuangan mereka tanpa mengenal erti jemu dan sehingga sampai mempertaruhkan keselamatan dan nyawa mereka sendiri. Seperti pejuang tanahair yang lain, mereka juga perlu diraikan dan kisah hidup mereka juga perlu difilemkan.

Remp-it 2 merupakan salah satu usaha dari Penerbit dalam jangka masa panjang boleh melahirkan pelumba-pelumba yang mampu mengharumkan lagi nama negara di dalam arena permotoran.

Filem ini diterbit dan diarahkan oleh Farid Kamil selain bertindak sebagai pelakon utama disamping barisan pelakon seperti Cat Farish, Ahirine Ahirudin, Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Zaidi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Chiwan Chilok, Mamak Puteh, Rudy GTB, Gabit Saleh, Shahkimin serta penampilan sulung Muhammad Kamil a.k.a Che Mad yang telah memberi mutu lakonan yang meyakinkan pada usia 7 tahun.

Penggambaran yang dilakukan selama 55 hari di lokasi-lokasi yang dipilih sesuai dengan jalan cerita termasuk Ulu Choh Johor, Melaka, Gong Badak Terengganu, Sungai Lembing Pahang, serta sekitar Lembah Klang termasuk Litar Antarabangsa Sepang.

Kepada semua peminat dunia permotoran dan filem Malaysia, pastikan anda menonton filem Remp-it yang telah mula ditayangkan pada 24 November 2022.

 

Sinopsis Remp-it 2

REMPT-IT 2 mengisahkan kesinambungan kehidupan MADI 16 tahun selepas kejadian yang menimpa Madi dan SPARK dulu.

Madi sekarang bekerja sebagai instructor di sebuah pusat latihan motosikal yang dimiliki oleh ROY dan mengusahakan bengkel bersama MACHA. Selepas kejadian itu, Madi sudah berazam untuk tidak berlumba dan meninggalkan dunia rempitnya. Kini Madi fokus sebagai pelumba professional.

Pada suatu hari, secara tidak sengaja Madi telah berentap di jalanraya dengan AJAK, orang SPARK. Madi yang cuba mengelak dari terlibat dalam perlumbaan haram membuat helah dengan meninggalkan perlumbaan tersebut.

Namun Ajak tidak berpuas hati dan sekali lagi menerjah Madi di jalanraya dan berlumba sekali lagi tetapi kali ini bersama DEKWAN dan konco-konconya. Berita kemunculan Madi sampai ke pengatahuan Spark yang berada di dalam penjara. Spark bakal dibebaskan tidak lama lagi dan dia tidak sabar untuk berentap semula dengan Madi.

Sedang Madi cuba lari dari hakikat bahawa dia sudah kembali berlumba, muncul seorang kanak-kanak bernama MUHAMMAD yang mengaku sebagai anak Madi. Madi dan Macha hilang punca kerana tidak tahu siapa ibu Muhammad.

Kemunculan Muhammad menambahkan beban dalam kepala Madi. Dia tidak pernah mendekati kanak-kanak dan kini terpaksa hidup bersama seorang kanak-kanak. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas