Selera

Pau Pak Ngah ketengah inti unik

PAU Pak Ngah mempunyai 12 perisa antaranya pau pop unicorn, mushroom chicken carbonara dan creme brule yang menjadi ‘best seller’ dan menarik perhatian pelanggan.
- Diterbit 25 November 2022 6:00 AM MYT

MERUPAKAN resipi turuntemurun daripada arwah atuk, Pau Pak Ngah yang diusahakan pasangan adik-beradik Nur Afifah Roslan bersama abangnya, Muhammad Afiq Roslan bebas daripada sebarang bahan pengawet.

Malah legasi pau yang mempunyai 10 cawangan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan ini menjadi pujaan ramai dek keranaintinya yang padat serta teksturnya yang gebu selain mempunyai 12 perisa unik.

Bercerita lanjut tentang Pau Pak Ngah, Nur Afifah berkata perniagaan yang bermula sejak 1980-an ini mula diambil alih oleh bapanya pada tahun 2007 yang mana ketika itu hanya terdapat tiga perisa sahaja iaitu kaya, kacang merah dan kelapa.

“Kemudian, ayah tambah tiga perisa lain iaitu coklat, kari daging dan kari ayam. Namun, selepas kami mengambil alih perniagaan sekitar
tahun 2003, kami menambah perisa baharu yang digabungkan dengan cita rasa barat,” katanya kepada Wilayahku.

Katanya, selain mengekalkan perisa tradisi keluarga, dia juga memberi suntikan cita rasa baharu dengan gabungan timur dan barat untuk inti paunya iaitu cheesy beef bolognese, cheesy chicken bolognese, mushroom chicken carbonara, black pepper beef dan black pepper chicken.

“Kita ingin mencipta kelainan dengan memperkenalkan perisa yang tiada di pasaran iaitu cheesy beef bolognese dan mushroom
chicken carbonara yang mana kedua-duanya ditaburi daun oregano dan serbuk lada hitam sekali gus menjadikan rasanya
seperti spageti sebenar.

“Selain itu, Pau Pak Ngah turut mengeluarkan perisa bermusim yang dikeluarkan pada bulan tertentu antaranya pau golden salted egg, pau pop unicorn, pau sambal ikan bilis dan pau rendang daging.

“Ini adalah sebahagian daripada kelainan yang membuat pelanggan sentiasa ternanti-nanti kerana tidak terdapat di tempat lain. Misalnya
pau pop unicorn, ia dihasilkan dalam bentuk berwarna-warni seakan pelangi dan berinti jagung kastard,” ujarnya menjelaskan pau tersebut sering menjadi pilihan kanak-kanak.

Menurut Afifah, mereka sentiasa melakukan pemerhatian berterusan untuk menepati cita rasa pelanggan dari semasa ke semasa dan sering
menerima respons positif daripada pelanggan.

“Setiap peniaga mahukan keuntungan tetapi kepuasan pelanggan menjadi keutamaan kami. Sekiranya ramai pelanggan tertarik dengan perisa kaya maka kita akan prosesnya berlebihan,” katanya yang mempunyai tujuh kakitangan di ibu pejabat.

Setakat ini, Pau Pak Ngah yang popular dengan tagline ‘inti penuh dari gigitan pertama hingga terakhir’ ini mampu terjual sebanyak 2,000 biji termasuk pau sejuk beku dengan harga serendah RM2.80 sebiji.

Bagi menarik perhatian pelanggan, Pau Pak Ngah memberikan 50 biji pau berperisa kaya secara percuma kepada 50 pelanggan terawal yang datang ke setiap cawangannya bermula awal November lalu bersempena pembukaan cawangan baharu di Nilai.

PILIHAN SELEBRITI

TERBAHARU, Pau Pak Ngah turut berkolaborasi bersama cef dan selebriti Datuk Fazley Yaakob menerusi Suka Sucre Bistro dengan memperkenalkan perisa baharu iaitupau creme brule yang menjadi tarikan paling popular.

Bercerita lanjut tentang kolaborasinya bersama Fazley Yaakob, Nur Afifah berkata cef tersebut merupakan pelanggan tetap Pau Pak Ngah
sejak sekian lama.

“Sememangnya kami berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan nama besar lebih-lebih lagi kami hanyalah peniaga jalanan sahaja,” katanya yang turut menghasilkan pau sejuk beku berharga RM12 satu pek yang mengandungi tiga biji.

Dalam pada itu, Afifah berkata pihaknya juga turut membuka tempahan untuk sebarang majlis mengikut pakej dan harga yang ditetapkan. – WILAYAHKU

INFO PAU PAK NGAH : 

Cawangan Pau Pak Ngah:  Giant 9 Avenue, Nilai, Bukit Indah, Ampang, Giant Permata, Taman Melawati, Taman Greenwood, Gombak, Kampung Melayu, Sungai Buloh, SS19, Subang, Giant, Seksyen 7, Shah Alam, Taipan, Setia Alam, Taman Tun Dr Ismail

Hubungi: 016-287 5125 (HQ)

Waktu Operasi: Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad (12 tengah hari hingga 7 malam)

Media sosial:

Instagram, Facebook dan Twitter: @paupakngah

Website: https://linktr.ee/paupakngah

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas