Berita

Rasionalisasi subsidi dapat selesaikan isu keitirisan diesel – Pakar ekonomi

Foto hiasan
- Diterbit 16 April 2024 12:16 PM MYT

Pakar ekonomi berpendapat rasionalisasi subsidi diesel yang dijangka dilaksanakan tahun ini mampu menyelesaikan isu penyalahgunaannya yang telah berlarutan selama lebih 15 tahun.

Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak yakin kerajaan mampu memperoleh penjimatan lebih RM40 bilion daripada pelaksanaan subsidi petrol dan diesel yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024, memandangkan kategori itu merupakan antara paling serius berlaku ketirisan.

“Kalau kita boleh menangani kedua-dua ketirisan ini, banyak sebenarnya kita boleh jimat. Kita hanya memberikan subsidi yang sangat minimum, misalnya RM30 untuk seorang pemandu kereta dan RM12 bagi penunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, wajar bagi kerajaan mewujudkan kaedah subsidi diesel bersasar untuk mengawal aktiviti penyelewengan yang semakin berleluasa apabila terdapat sindiket menjual bahan api bersubsidi itu dengan harga lebih dua kali ganda bagi mengaut keuntungan.

Katanya, pada masa sama kerajaan dicadang mengambil kira kesan jangka pendek dengan tidak tergesa-gesa menarik pemberian subsidi bahan api kepada kategori pendapatan M40 dan T20 sebagaimana dikekalkan kepada golongan B40.

“Jumlah subsidi dijimatkan masih besar dengan langkah itu. Tak perlu terlalu kedekut dalam pemberian subsidi, nanti jangka pertengahan dan panjang baru kita fikir bagaimana nak rasionalisasi semula supaya hanya kumpulan memerlukan mendapat subsidi,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat kerajaan merasionalkan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.

Beliau berkata,  akibat daripada harga diesel yang terlalu murah, wujud kemungkinan berlakunya aktiviti penyeludupan yang serius.

Pada Februari lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, mendedahkan bahawa negara mengalami kerugian sebanyak RM4.5 juta akibat ketirisan tiga juta liter diesel diseludup ke luar negara setiap hari.

Senada dengan Barjoyai, Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School, mencadangkan agar kerajaan menjalin kerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan sebagainya bagi memperkukuh mekanisme rasionalisasi subsidi.

Katanya, ini dapat menjamin keberkesanan “langkah rasionalisasi” dalam mengelakkan ketirisan berterusan sekali gus benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, Shankaran Nambiar daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata sebaiknya subsidi diesel bagi penggunaan kenderaan dihapuskan segera memandangkan ia hanya “menggalakkan” ketirisan.

“Subsidi kita sebenarnya subsidi ‘dinikmati’ negara jiran akibat berlaku penyeludupan. Ia bukan sahaja membebankan kerajaan malah menimbulkan pembaziran kerana tidak menguntungkan golongan sasar.

“Beban kewangan kerajaan berat untuk membiayai subsidi diesel dan ini tidak termasuk subsidi RON95 yang akan dihapuskan sebaik sahaja rasionalisasi subsidi diesel dilaksana,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas