Berita

Rakyat Denmark mula mengundi

- Diterbit 1 November 2022 12:30 PM MYT

PUSAT pengundian Denmark dibuka pada Selasa dalam pertembungan yang dilihat sengit dengan parti baharu berharap menguasai kerusi parlimen negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Tinjauan terbaharu menjelang pilihan raya menunjukkan “blok merah” sayap kiri yang diketuai Demokrat Sosial pimpinan Mette Frederiksen memperoleh sokongan antara 47.1 hingga 49.1 peratus.

Lawan utama mereka “blok biru” terdiri parti konservatif, liberal dan tiga parti populis yang diunjur memperoleh 40.9 hingga 43.6 peratus undian.

Gesaan Frederiksen supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal sudah dijangkakan selepas parti pembangkang menuduh perdana menteri melanggar undang-undang apabila memutuskan untuk memusnahkan 17 juta populasi mink di negara itu kerana bimbang COVID-19 merebak di ladang.

Musim berkempen ini kali ini berbeza dengan isu imigresen bukan lagi tumpuan utama sebaliknya beralih kepada krisis tenaga, inflasi dan krisis makanan di tengah-tengah perang Rusia-Ukraine serta isu iklim dan penjagaan kesihatan.

Pada pilihan raya 2019, peratus keluar mengundi sebanyak 84.6 peratus dan pemilihan kali ini, tinjauan mendapati satu perempat daripada pengundi tidak pasti pihak mana yang akan mereka sokong.

Undian bermula 8 pagi waktu tempatan (0700GMT) dengan pusat pengundian dibuka selama 12 jam.

Keputusan awal dijangka pada 9.30 malam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas