Berita

PUSPAL digesa kemuka senarai penambahbaikan peraturan konsert

FAHMI (dua kanan) menyampaikan sijil watikah perlantikan kepada salah seorang Komuniti Madani.
- Diterbit 22 Julai 2023 12:00 PM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) meminta pihak Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) menyenaraikan penambahbaikan atau klarifikasi peraturan kebenaran persembahan artis luar negara pada minggu hadapan.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata klarifikasi yang perlu dibuat sama ada dalam tatacara permohonan atau proses untuk memastikan tidak berulang masalah seperti yang berlaku ketika persembahan kumpulan dari luar negara, The 1975 sempena Festival Good Vibes 2023 di Sepang pada Jumaat.

“Dalam insiden seperti ini berlaku keadaan yang sangat ketelanjuran dan biadab di mana akhirnya kita telah ambil tindakan seperti yang diumumkan hari ini,” ujar beliau kebanyakan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak PUSPAL adalah jelas.

Terdahulu, kerajaan juga bertindak mengarahkan pembatalan serta-merta festival tersebut yang sepatutnya berlangsung sehingga esok.

Tambah beliau pihak penganjur dan juga pengurus kumpulan 1975 telah bersetuju untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan tersebut.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Komuniti Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bertempat di Dewan Eco Park, Lembah Pantai hari ini.

Dalam perkembangan lain Fahmi berkata pihaknya sedang berkerjasama rapat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras ajaran sesat SiHulk yang sedang tular.

“Saya juga telah memanjangkan hal ini kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar untuk mendapatkan kepastian tentang beberapa perkara.

“Dalam masa sama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada kerjasama dengan SKMM sekiranya ada sebarang content yang didapati dan ditakrifkan sebagai ajaran sesat maka tindakan pantas boleh diambil,” ujar beliau.

Fahmi berkata kewujudan pelbagai platform menyukarkan untuk mengenal pasti individu yang terlibat dengan ajaran sesat tersebut.

“Mereka mungkin post video yang sama tapi dengan hashtag atau caption berbeza menerusi beberapa platform membuatkan sukar untuk kita track mereka.

“Di sini antara sebab kenapa kita adakan perbincangan dengan pihak TikTok bagi membantu terutama aspek penguatkuasaan memandangkan dia sangat berbeza daripada Twitter, Facebook, WhatsApp dan Instagram.

“Mungkin kita akan bincang untuk manfaatkan teknologi AI untuk bantu kenal pasti content yang tidak bersesuaian di mana fokus kita ketika ini untuk membanteras ajaran sesat SiHulk,” jelas beliau. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas