Atlet Wilayah

Putra tekad bina nama dalam negara

AKSI Putra (kanan) ketika kejohanan yang disertainya baru-baru ini.
- Diterbit 23 Julai 2023 1:00 AM MYT

MENYIMPAN ­impian ­untuk meneruskan ­legasi ­kecemerlangan ­keluarga dalam sukan Muay Thai membuatkan Putra Abdullah Mahmoud, 18, tekad ­mengikuti jejak langkah kedua-dua orang abangnya.

Merupakan adik kepada ­atlet Muay Thai Kebangsaan, Nidal Mahmoud, 29, dan Mohammed Mahmoud, 27, atlet Wilayah Persekutuan ini ­mengakui hal tersebut membuatkannya perlu lebih berhati-hati.

“Sukar sebenarnya untuk ­meneruskan kecemerlangan ahli keluarga saya yang berjaya dalam bidang ini. Pasti semua pihak akan meletakkan ­sepenuh kepercayaan kepada saya.

“Pun begitu, saya percaya ­pada diri sendiri dan terus ­berusaha sebaik mungkin hingga berjaya mewakili negara ke peringkat ­lebih tinggi pula,” ujarnya yang telah berkecimpung selama lapan tahun dalam sukan Muay Thai.

Sering menyandang gelaran juara setiap kali bertanding ­dalam Kejohanan Muay Thai, aksi ganas atlet kelahiran Kuala Lumpur ini berjaya menggentarkan pihak lawan.

Tambahnya yang bertekad ­mahu bergelar peninju profesional dan disegani di peringkat antarabangsa suatu hari nanti, dia kini giat menjalani latihan saban hari.

“Rutin harian yang ­dilakukan adalah untuk memperbaiki ­diri sedikit demi sedikit supaya ­menjadi lebih lincah dan padu dalam ­kejohanan akan datang.

“Saya cuba menjalani ­latihan yang mengandungi 15 ­pusingan dengan beg tinju yang menumpukan kestabilan ­serta kekuatan dan ­sparing,” ujarnya ­kepada Wilayahku.

Putra berkata teknik ­tumbukan dan hadangan terhadap lawan merupakan perkara paling sukar dilakukan.

“Ia memerlukan latihan yang konsisten. Dalam masa yang ­sama, saya banyak melakukan latihan menggunakan beg tinju bagi menambah kecergasan mental dan fizikal,” ujar anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini.

Menanam impian untuk ­beraksi pada Kejohanan Muay Thai Dunia suatu hari nanti, dia berkata ingin mencuba sehabis baik untuk ­mencipta nama di dalam ­negara terlebih dahulu dan akan terus fokus serta memberikan yang ­terbaik ­dalam sukan diceburinya sejak berusia 10 tahun itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas