Utama

Program WBB terima sambutan luar biasa

RINA Harun ketika menghadiri program WBB di bawah inisiatif Wanita Bangkit anjuran RichWorks yang diadakan secara maya baru-baru ini.
- Diterbit 30 November 2021 4:01 AM MYT

PROGRAM Wanita Bangkit Berniaga (WBB) yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama RichWorks menerima sambutan luar biasa apabila berjaya menarik hampir 40,000 penyertaan berbanding sasaran awal 2,000 peserta.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, program di bawah inisiatif Wanita Bangkit itu digerakkan bagi membantu khususnya wanita yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 untuk menjana pendapatan dengan berniaga.

Ujarnya, pihak Kementerian memilih RichWorks sebagai rakan kolaborasi strategik berikutan rekod prestasi dalam melahirkan ramai usahawan jutawan sejak 2008 hingga kini.

“Kami percaya dengan kepakaran RichWorks yang diasaskan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman dalam melatih dan memastikan peserta yang ada kesungguhan tinggi akan dapat mengubah kehidupan mereka.

“Bagaimanapun, tiada apa yang dapat membantu mereka meskipun ada guru yang hebat jika tiada tindakan diambil oleh mereka sendiri selepas tamat program ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

RichWorks merupakan sebuah syarikat latihan dan bimbingan pembangunan usahawan yang paling berjaya di negara dengan rekod jualan terkumpul 700 anak didik mereka berjaya mencapai RM2.2 billion pada tahun lepas.

Rina berharap 90 peratus golongan wanita daripada 40,000 yang telah mendaftar dapat mengubah hidup dengan menjana pendapatan yang baik.

“Perkongsian daripada lebih 30 usahawan jutawan dalam program ini pasti memberikan inspirasi kepada para peserta kerana sebelum berjaya mereka juga merupakan suri rumah yang berdepan masalah hutang, kewangan yang terhad, ibu tunggal dan lain-lain,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks Radz Mohd memberitahu pihaknya amat berbesar hati kerana dipilih menjadi rakan kolaborasi Kementerian untuk memperkasakan lebih ramai wanita dalam bidang keusahawanan.

“Kami merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Rina dan pasukannya yang sangat komited dalam memastikan program ini berjaya untuk manfaat peserta WBB,” harapnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas