Berita

Program Jualan MADANI Raya 2024 sasar RM1.6 juta

EWON ketika melancarkan sesi 'happy hour' dengan potongan harga barangan terpilih sebanyak 30 peratus.
- Diterbit 28 Mac 2024 2:30 PM MYT

PROGRAM Jualan MADANI Raya (PJMR) 2024 dijangka mencatat jualan RM1.6 juta sepanjang 33 hari program berlangsung bermula pada 8 Mac hingga 9 April ini.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, program tersebut menawarkan barang persiapan Aidilfitri dan keperluan harian pada kadar harga diskaun sehingga 20 peratus yang mana sekali gus dapat membantu meringankan beban rakyat.

Berlangsung sempena Festival Ramadan Putrajaya 2024, Ewon berkata penganjuran PJMR 2024 dapat menyelami denyut nadi rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“PJMR 2024 menyediakan 60 reruai jualan melalui penyertaan 28 usahawan dan 13 koperasi dengan pelbagai tawaran menarik barang persiapan Aidilfitri dan keperluan harian yang berupaya meringankan kos persiapan rakyat bagi menyambut Aidilfitri.

“Program ini juga memperkasa dan mempromosikan perniagaan usahawan serta koperasi selaras dengan kerangka Malaysia MADANI,” katanya selepas sesi walkabout PJMR 2024 di Dataran Anjung Syawal, Presint 3, Putrajaya.

Antara pengisian menarik semasa sesi walkabout tersebut ialah pelancaran sesi happy hour dengan tawaran diskaun harga barangan sehingga 30 peratus dan penyampaian hadiah cabutan bertuah berupa peralatan elektrik dan hamper sumbangan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad.

“Dalam tempoh dua minggu pertama, PJMR anjuran KUSKOP mencapai jualan RM415,800 (sehingga 22 Mac) dengan 44,212 pengunjung.

“Mudah-mudahan dalam dua minggu yang terakhir, jualan kepada 60 reruai akan terus meningkat.

“Pelaksanaan PJMR KUSKOP 2024 ini diharapkan dapat merancakkan aktiviti keusahawanan dan koperasi selaras dengan kerangka Malaysia MADANI di bawah nilai kesejahteraan yang membawa elemen terangkum dan keseimbangan hidup masyarakat bagi menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” ujar beliau.

Dalam masa sama, KUSKOP menyasarkan RM2.5 juta hasil jualan usahawan tempatan melalui Kempen Mari Beli Lokal – Ramadan dan Raya 2024 yang dianjurkan untuk kali kedua susulan kejayaan kempen tersebut pada 2023 dengan nilai jualan sehingga RM2.5 juta. 

Hampir 500 usahawan dijangka menyertai kempen yang menawarkan pelbagai produk seperti pes masakan segera, produk runcit, pakaian raya dan kuih raya itu.

Kempen tersebut bertujuan menarik sokongan orang ramai kepada produk tempatan yang dikeluarkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi di Malaysia sekali gus membantu proses pendigitalan golongan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas