Berita

Program ‘Back To School PGDM’ bantu 50 anak orang asli

PROGRAM 'Back To School' yang dianjurkan oleh PGDM ini diharap menjadi motivasi untuk pelajar berjaya dalam pendidikan mereka.
- Diterbit 21 Disember 2021 4:20 AM MYT

PROGRAMBack To School‘ anjuran Pertubuhan Generasi Digital Media (PGDM) memberi bantuan kepada 50 pelajar (sekolah menengah) Asrama Darul Falah (ASDAF).

Presiden PGDM, Mohamad Azfar Afandi Zulkfley berkata ASDAF yang ditubuhkan pada 19 Ogos 1995 di bawah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) merupakan sebuah asrama menempatkan anak-anak Orang Asli peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

“PERKIM telah memilih kanak-kanak dari kalangan masyarakat Asli untuk bersekolah di bandar yang terdiri dari suku Semai, Bateq, Mahmeri, Semelai, Temuan dan Temiar.

“Kebanyakan daripada mereka adalah anak yatim dan datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya sumbangan yang diberikan adalah berupa set baju sekolah, beg, kasut sekolah, barangan makanan asas serta 100 pek makanan tengah hari untuk diberikan kepada para pelajar dan petugas ASDAF.

Mohamad Azfar berkata ini merupakan kali pertama program ‘Back To School‘ dianjurkan oleh PGDM dan berharap agar usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Program ini merupakan usaha bagi membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan dan memainkan peranan penting dalam menggalakkan mereka meneruskan pendidikan bermula tahun baru persekolahan dengan gembira.

“Melalui program ‘Back To School PGDM’ ini, kami harap ia dapat menjadi motivasi untuk pelajar ini berjaya dalam pendidikan mereka. Mereka adalah masa depan negara kita, mereka juga bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa depan,” ujarnya.

PGDM telah ditubuhkan pada tahun 2020 bagi membantu masyarakat khusunya bekas petugas media, pengamal media atas talian serta petugas media yang berjawatan tidak tetap dimana gaji dan elaun dikira berdasarkan tugas. Pertubuhan ini juga turut membuat kerja-kerja amal dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik tanpa mengira latar belakang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas