Berita

10 jalan dibuka semula di ibu negara

KERJA pembersihan dilakukan sejak semalam oleh DBKL dengan bantuan Alam Flora di lokasi banjir yang telah surut.
- Diterbit 21 Disember 2021 4:12 AM MYT

SEBANYAK 10 jalan di ibu negara yang terjejas akibat banjir telah mula dibuka pada Isnin.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan antara jalan yang telah dibuka adalah Jalan Melaka, Lorong Haji Mahadi, Jalan Batu Bata, Maluri, Leisure Mall, Bandar Permaisuri, Sungai Besi, Jalan Raja Chulan, Kampung Chubadak dan Jalan Tiongnam. 

Dalam pada itu, DBKL mengenal pasti 43 lokasi insiden tanah runtuh di sekitar Lot 2979, Jalan Penchala Indah, No 263 Taman Damansara Indah, Bangsar Indah Condominum, Jalan Kelantan, Bukit Persekutuan dan Kondominium Seri Duta, Taman Duta. 

“Bagi menangani masalah ini, IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia) telah dilantik untuk membuat kajian bagi mengenal pasti tindakan penyelesaian yang sesuai untuk dilaksanakan. 

“Selain itu, terdapat 16 lokasi pokok tumbang dan dahan serkah dikenal pasti menerusi siasatan di tapak dan aduan awam. 

“Antaranya Jalan Pantai Permai, Lembah Pantai, Muzium Di Raja Bukit, Petaling (Pintu 2), IPD Brickfields, Jalan Siakap Blok 28 Cheras, Jalan Midah 8 Cheras, Jalan Jubilee off Jalan Loke Yew dan Lorong Setia Bistari, Bukit Damansara,” katanya.

Tambah DBKL, seramai 1,400 orang pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), RELA, Alam Flora, NADMA dan Pasukan Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditugaskan menjalankan operasi membantu dan menyelamat serta menjalankan kerja-kerja pembersihan. 

Ujar DBKL, kerja pembersihan dilakukan sejak semalam dengan bantuan Alam Flora di lokasi banjir yang telah surut bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur berada dalam keadaan bersih dan selesa untuk dikunjungi.  

Sementara itu, DBKL memaklumkan seramai 371 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan 287 mangsa dari Kampung Pasir, 76 dari Kampung Periuk dan lapan dari Kampung Batu Bata. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas