Berita

PPj gerakkan aset bantu mangsa banjir Lembah Klang

TIM PPj ketika misi di Dengkil awal minggu ini
- Diterbit 26 Disember 2021 1:00 AM MYT

BANJIR yang melanda Lembah Klang Jumaat lepas menyaksikan ribuan penduduk terjejas dan terpaksa keluar daripada kediaman masing-masing.

Malah, tidak kurang juga ramai yang terkandas dan hanya menanti bantuan daripada pihak luar ekoran kenaikan air secara mendadak.

Tampil menghulurkan bantuan, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengerahkan kakitangannya serta menggunakan aset berupa bot bagi membantu mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas antaranya di Dengkil, Hulu Langat dan Shah Alam.

Wan Sabarudin Wan Ahmad,

Menurut wakil misi bantuan, Wan Sabarudin Wan Ahmad, gerakan secara segera tersebut turut disertai oleh Kelab Tasik Putrajaya yang turut menyalurkan bantuan berupa dua buah kayak.

“Keseluruhan enam buah bot dihantar minggu lalu iaitu tiga buah bot kecil dan sebuah bot berenjin selain dua buah kayak yang digunakan untuk bergerak ke tempat-tempat yang sempit.

“Misi ini lebih kepada bantuan segera yang mana apabila terjadinya bencana seperti ini, kita terus bergerak ke lokasi atas arahan pihak
pengurusan untuk memberi bantuan logistik berupa makanan dan sebagainya,” ujar beliau.

Tambah beliau, ketika ditugaskan ke lokasi di sekitar Dengkil yang agak kritikal, antara masalah utama adalah penduduk terputus
bekalan makanan selain terkandas di kediaman.

SEBAHAGIAN bot yang digunakan
dalam misi banjir baru-baru ini

“Apabila air naik, kenderaan berat seperti lori pun tidak dapat lalu jadi kita terpaksa menghantar bekalan kepada penduduk selain dalam masa yang sama turut membawa mereka yang terkandas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan banjir yang melanda Lembah Klang baru-baru ini, menurut beliau, ia adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Mengikut kajian, hujan lebat yang berterusan menyamai jumlah taburan purata hujan di Lembah Klang untuk tempoh sebulan yang turut diumpamakan fenomena setiap 100 tahun sekali,” ujarnya yang turut berharap mangsa banjir bersabar di atas dugaan tersebut.

Dalam masa yang sama, Sabarudin turut berpesan kepada mangsa banjir di seluruh negara agar sentiasa berwaspada dan
jangan mudah panik.

“Jika dinasihatkan untuk meninggalkan kediaman, maka patuh nasihat tersebut. Jangan berdegil untuk keselamatan diri dan kaum keluarga. Kebiasaannya ramai yang berdegil apabila diminta meninggalkan kediaman, namun apabila air naik, mereka mula menggelabah,” ujar beliau.

Terdahulu, hujan yang berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir kilat. Antara kawasan terjejas teruk adalah di Klang, Shah Alam, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas