Berita

PL pelawa 16 asetnya kepada pelabur tempatan dan asing

RITHUAN (tengah) pada sesi sidang media bagi Cadangan Pelaburan (RFP) harta tanah milik Perbadanan Labuan, pada Isnin.
- Diterbit 3 Oktober 2022 12:46 PM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) mempelawa pelabur tempatan dan asing yang berpotensi untuk melabur menerusi Cadangan Pelaburan (RFP) 16 aset hartanah miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail berkata, antara 16 aset pajakan membabitkan 10 aset destinasi pelancongan iaitu Pulau Papan, Hotel Labuan, Bangunan Pasar Lama A, Kompleks Hab Halal Labuan, lot tanah terbiar bersebelahan Pasar Lama B.

Menurutnya, aset lain adalah tanah perindustrian (3.5 hektar dan 1.306 hektar) di lot 11362 dan 11364, tanah terbiar di Jalan Okk Abdullah (1.559 hektar dan 2814 meter persegi), tanah terbiar berdekatan Jalan Tuanku Shariff Kedah (2.877 dan 6.312 hektar) dan tanah terbiar di Teluk Victoria (13.03 dan 0.975 hektar).

Manakala bagi aset baharu tujuan pajakan adalah Terminal Feri Antarabangsa Labuan, satu lot tanah terbiar berdekatan SJK (C) Chi Wen, tanah terbiar bersebelahan bangunan Pasar Lama C, Kelab Golf Antarabangsa Labuan (LIGC) dan tanah terbiar bersebelahan serta tanah terbiar berhadapan Jalan Tuanku Shariff Kedah.

Sehubungan itu, beliau berkata, iklan tawaran bagi pajakan dan sewa harta tanah milik PL itu akan dibuka mulai 3 Oktober sehingga 4 Disember ini.

“Tindakan pajakan 16 aset itu adalah dalam tempoh 20 dan 30 tahun dan adalah untuk tujuan komersial seperti pembangunan dan pelancongan.

“Kita mahukan ekonomi Labuan menjadi mantap yang menyokong kegiatan ekonomi dan mengalakkan lagi jaminan ekonomi serta penyertaan masyarakat dalam sektor tenaga kerja,” katanya pada sidang media di Wisma Perbadanan Labuan, pada Isnin.

Jelasnya, langkah itu merupakan salah satu usaha PL untuk meningkatkan sektor ekonomi dan pembangunan di pulau itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas