Berita

PKB nafi dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam

PKB memaklumkan projek pembangunan semula ini dijangka mengambil masa 10 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat. KERAJAAN memberi jaminan bahawa Kampung Baru akan dibangunkan semula dan bukan digadaikan kepada pihak lain.
- Diterbit 8 Januari 2022 12:14 AM MYT

PERBADANAN Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad bahawa tiada pertemuan antara pemaju dan pemilik tanah Sungai Baru, Kampung Baru bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu.

Menurut PKB, beberapa pertemuan dan rundingan susulan telah dilaksanakan di antara pihak PKB, pemaju dan penduduk bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.

“Susulan sidang media pada 4 Disember lalu berkenaan isu pampasan pemilik tanah/Flat PKNS Sungai Baru, Kampong Bharu oleh pemilik tanah, satu sesi perjumpaan Menteri Wilayah Persekutuan bersama pemilik telah diaturkan pada 6 Disember di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta perjumpaan Menteri Wilayah Persekutuan bersama pemaju pula diadakan pada 8 Disember.

“Hasil perjumpaan berkenaan, Menteri Wilayah Persekutuan telah meminta pemaju untuk mengkaji semula tawaran atau pakej yang lebih baik untuk diberikan kepada pemilik Kampung Sungai Baru bagi membantu mereka mendapat sebuah rumah dan wang tunai,” jelasnya bagi menjawab dakwaan dibuat Khalid Abd Samad pada 5 Januari 2022.

PKB memaklumkan pada 10 Disember, pemaju bersetuju menyediakan satu tawaran baru yang dinamakan Pakej Harmoni kepada pemilik unit flat yang telah diputuskan jumlah pampasan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTWPKL) pada sesi siasatan pengambilan tanah.

“Pakej Harmoni ini menawarkan sebuah unit kediaman berkeluasan 900 kaki persegi yang bernilai RM300 ribu dengan jumlah pampasan pengambilan tanah yang diterima oleh pemilik flat dipulangkan separuh kepada pemaju.

“Sebagai contoh, pemilik yang menerima pampasan pengambilan tanah berjumlah RM250 ribu boleh memiliki Pakej Harmoni ini dengan harga RM125 ribu sahaja,” ujarnya.

PKB berkata kediaman ini dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air berserta satu petak aksesori tempat letak kereta manakala bagi Pakej Harmoni untuk pemilik teres akan ditawarkan semasa siasatan pengambilan tanah (land enquiry) yang akan diadakan kelak.

Sementara itu, PKB turut memaklumkan projek pembangunan semula ini dijangka mengambil masa 10 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Pendekatan pelaksanaan ini bagi memastikan aliran tunai pemaju mampu untuk menampung pelaksanaan pembangunan bagi plot-plot berikutnya dalam tempoh tersebut.

“Pendekatan dan tindakan segera Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini telah menyelesaikan isu pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan tanah,” tambahnya.

Selain itu, ujar PKB, bermula pada 22 Disember 2021 hingga ke hari ini, KWP dan Agensi termasuk PKB turut bekerjasama dengan negeri-negeri lain dalam membantu menyelamat, memindah serta menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan Keluarga Malaysia.

“Ini termasuklah bantuan kepada warga Taman Sri Muda, Shah Alam yang terjejas teruk ekoran banjir besar yang melibatkan kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan awam, sekolah, rumah ibadah serta bantuan Bakul Makanan MyFood@Wilayah.

“Dalam situasi kritikal ini, usaha-usaha untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat adalah fokus utama Kerajaan termasuklah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Agensi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas