Berita

Pengecualian sewa sehingga Jun depan

BASHIR (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pelitup muka dan pembasmi kuman kepada 27 ketua kampung pada Program Pembudayaan Norma Baharu Anjuran MPP Labuan, baru-baru ini. BASHIR (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pelitup muka dan pembasmi kuman kepada 27 ketua kampung pada Program Pembudayaan Norma Baharu Anjuran MPP Labuan, baru-baru ini.
- Diterbit 8 Januari 2022 1:30 AM MYT

RATUSAN peniaga kecil di Pasar Sentral UTC menerima manfaat pengecualian pembayaran bagi sewaan premis perniagaan selama enam bulan, sehingga Jun 2022.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias berkata, keputusan itu dimuktamadkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam satu mesyuarat baru-baru ini yang memahami situasi peniaga-peniaga kecil yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Katanya, ini membuktikan bahawa kerajaan komited dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kelonggaran itu dibuat selepas mengambil kira bebanan dan kesusahan yang ditanggung oleh peniaga-peniaga kecil,”.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembudayaan Norma Baharu anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan di Wisma Perbadanan Labuan, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PL Hamir Zahari.

Sementara itu, beliau yang juga merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PL turut memaklumkan seramai 27 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di pulau ini bakal menerima kenaikan elaun bulanan sebanyak RM300 menjadikan elaun penuh pada Januari 2022 sebanyak RM1,000.

“Kenaikan elaun itu diluluskan Menteri Wilayah Persekutuan, baru-baru ini,” katanya.

Bashir berkata, dengan adanya kenaikan elaun bulanan itu membuktikan kerajaan mengiktiraf kepentingan dan sumbangan Pengerusi JPKK dalam membantu kerajaan menerusi sistem penyampaian perkhidmatan kepada penduduk kampung. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas