Berita

Langkah terbaik jalin kerjasama YWP, YS

BARISAN kakitangan YWP dan YS ketika acara perlawanan persahabatan sukan di Kompleks Arena Sukan Kuala Lumpur
- Diterbit 15 Mac 2024 9:40 AM MYT

PENUBUHAN yayasan setiap negeri dilihat bukan sekadar untuk merealisasikan matlamat dalam membantu dan memenuhi keperluan masyarakat malah mampu mengeratkan hubungan kerjasama baik antara satu sama lain.

Menerusi inisiatif yang digerakkan di bawah misi dan visi yang sama, hubungan baik yang dijalinkan juga mampu merintis pelbagai peluang terbaik tidak kira aspek perniagaan, pasaran, kebajikan mahupun aktiviti kesukanan.

Ia dibuktikan melalui langkah yang digerakkan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) melalui Kelab Sukan dan Kebajikan (KSKYWP) dengan melaksanakan perlawanan persahabatan bersama Yayasan Selangor (YS) di Kompleks Arena Sukan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YS, Zaini Sulaiman berpandangan inisiatif YWP menganjurkan acara itu merupakan langkah terbaik untuk kedua-dua pihak saling mengenali sekali gus menjalinkan hubungan baik sesama kakitangan dan pihak atasan.

“Perlawanan persahabatan di antara YS dan YWP ini adalah yang pertama kalinya diadakan pastinya ada di antara mereka yang mungkin hanya berhubung dalam urusan kerja sahaja tapi dengan adanya aktiviti seperti ini ia dapat mengeratkan lagi hubungan.

“Di samping bersukan, ada kalanya kita perlu adakan satu perbincangan atau pertemuan bersama untuk menerokai lebih banyak peluang dari segi pengalaman, pengurusan perniagaan dan sebagainya.

“Setiap dua tahun juga, yayasan negeri di Malaysia akan bersatu dan dikumpulkan dalam acara sukan terbesar iaitu Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA), jadi program-program seperti ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah,” katanya berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan YWP dalam sektor pendidikan.

Berkongsi lanjut mengenai acara yang diadakan, Pengerusi Jawatankuasa KSKYWP, Muhammad Izzat Amir Mohd Rahimi berkata perlawanan persahabatan di antara YWP dan YS ini adalah pertama kali diadakan dan akan diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan yayasan lain di setiap negeri.

“Tercetusnya idea untuk melaksanakan acara ini selepas pihak YWP memuat naik gambar aktiviti Karnival Sukan di antara kakitangan YWP. Saya terima komen daripada salah seorang kakitangan YS yang mencadangkan untuk menganjurkan perlawanan persahabatan dengan mereka.

“Disebabkan itulah acara tersebut berlangsung di mana lima acara sukan dipertandingkan antaranya futsal, bola jaring, karom, dart dan badminton,” katanya pada perlawanan persahabatan itu, YWP memenangi pertandingan badminton dan dart. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas