Berita

Piala Pengerusi MPPWP Sub Zon 5 Putrajaya tarik minat peserta dart

PARA peserta bersemangat dalam Pertandingan Dart Individu Lelaki Dan Wanita Piala Pengerusi MPPWP Sub Zon 5 Putrajaya
- Diterbit 23 Disember 2022 6:00 AM MYT

KIRA-KIRA 107 peserta daripada pelbagai agensi, jabatan dan kementerian berentap dalam Pertandingan Dart Individu Lelaki Dan Wanita Piala Pengerusi MPPWP Sub Zon 5 Putrajaya yang berlangsung di Dewan Serbaguna Presint 15, Sabtu lalu.

Menurut Pengasas Dartworks Solution (DWS), Muhammad Amin Abdul Mutalib, pertandingan yang bermula pada pukul 9 pagi itu mempertandingkan kategori perseorangan lelaki dan perseorangan wanita.

MUHAMMAD AMIN

“Antara objektif pertandingan tersebut adalah bagi menarik minat orang ramai untuk turut terlibat dalam sukan dart sekali gus sebagai satu usaha untuk memperkenalkan sukan berkenaan dalam negara ini.

“Dart ini nampak macam satu sukan yang mudah tetapi sebenarnya memerlukan kekuatan fizikal, mental dan strategi yang bagus.

“Selain itu, pertandingan pada kali ini juga diadakan untuk menyebarluaskan segala pengalaman yang dimiliki oleh pemain berpengalaman bagi membimbing peserta yang baru hendak berjinak dalam sukan dart,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambahnya, melalui pertandingan itu, para peserta akan dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang dikongsi oleh komuniti dart di Putrajaya.

Alhamdulillah, pertandingan pada kali ini mendapat sambutan yang memberangsangkan kerana penyertaan yang diterima melebihi daripada sasaran yang ditetapkan.

“Turut tidak ketinggalan pertandingan ini juga disertai penglibatan paling ramai iaitu 12 peserta baharu daripada tim Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). Apa yang saya nampak pasukan YWP ini berani dan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menang.

“Dalam pada itu, diharapkan melalui pertandingan sebegini dapat memupuk semangat kesukanan dan kemasyarakatan dalam kalangan belia untuk bersama-sama sebagai sebuah komuniti kerana ramai yang minat untuk bermain sukan ini tetapi tidak mempunyai keberanian untuk sertai pertandingan,” ujarnya dengan kehadiran jurulatih pasti akan lebih memantapkan kemahiran taktikal dan strategi sesebuah pasukan.

Terdahulu, pemenang tempat kesembilan sehingga 16 berpeluang membawa pulang medal, tempat kelima hingga lapan membawa medal beserta wang tunai bernilai RM30, medal dan wang tunai RM80 bagi tempat ketiga dan keempat, naib johan membawa RM150 berserta medal manakala johan mendapat RM250 dan medal. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas