Berita

PERGAK sasar 1,000 bekas banduan sertai program I-Kembali tahun ini

- Diterbit 3 Disember 2020 8:48 AM MYT

PERTUBUHAN Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) menyasarkan 1,000 bekas banduan menyertai program I-Kembali yang dilaksanakan khusus untuk membantu kumpulan itu memperoleh pekerjaan bagi memulakan kehidupan baharu, tahun ini.

Pengerusinya Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata sejak dilancarkan pada 2 Jun lepas, seramai 385 bekas banduan telah menyertai program I-Kembali dengan kebanyakkannya telah memperoleh pekerjaan.

“Ramai lagi bekas banduan akan mendaftar dengan program I-Kembali pada minggu depan. Jumlah bekas banduan yang menyertai program ini akan mencecah 1,000 peserta hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan kad pengenalan kepada 18 peserta program I-Kembali di Jabatan Pendaftaran Negara di sini, hari ini.

Menurutnya, bekas banduan yang menyertai program I-Kembali akan diberikan pekerjaan di sektor seperti perladangan, perkhidmatan, pekilangan, pertanian dan pembinaan.

“Peserta-peserta I-Kembali ini akan menjalani latihan sebelum dihantar kepada majikan terpilih,” katanya menambah mereka akan menerima gaji minimum RM1,200 bergantung kepada jenis sektor yang ditempatkan.

“Kita telah mendapat maklum balas yang positif daripada majikan dan ada dalam kalangan peserta I-Kembali menerima gaji yang tinggi sehingga RM1,800 kerana mempamerkan prestasi yang baik,” kata Siti Murni.

Menurutnya, peserta program I-Kembali ini akan dipantau oleh PERGAK serta Jabatan Penjara bagi memastikan mereka tidak kembali melakukan kegiatan jenayah.

PERGAK ialah pertubuhan yang mengurus tadbir dan membantu para peserta program I-Kembali untuk membina kerjaya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas