Berita

Penipuan SMS: Bekas ketua pegawai pemasaran telco, pengarah syarikat direman

- Diterbit 17 November 2020 7:18 AM MYT

BEKAS ketua pegawai pemasaran syarikat telekomunikasi dan pengarah syarikat swasta direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sindiket penipuan sistem pesanan ringkas (SMS).

Perintah reman hingga 21 Nov itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua lelaki berusia 49 dan 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini, kira-kira 9 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.

Mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

Nombor telefon yang diperoleh didakwa digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan dengan mengenakan bayaran langganan menerusi khidmat SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna, katanya.

Setakat ini, 16 individu termasuk dua bergelar ‘Datuk’ telah ditahan reman sejak 10 Nov lepas membantu siasatan kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas