Berita

Grand Coalition : Perlu ada formula terbaik, ubah landskap politik

- Diterbit 17 November 2020 5:20 AM MYT

CADANGAN ‘Grand Coalition’ yang dinyatakan Tan Sri Annuar Musa dilihat sebagai satu titik sepakat yang dapat mengubah landskap politik negara sekiranya ia dilakukan dengan cara yang betul.

Kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abd Rahman, hasrat yang dinyatakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu akan tercapai, sekiranya kesilapan yang berlaku di dalam Muafakat Nasional diperbetulkan terlebih dahulu.

Tegas beliau, perubahan yang direncanakan itu juga sekali gus dapat mengelakkan perpecahan antara parti komponen selepas Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung.

Ini kerana katanya, jika tidak ada formula yang baik serta ahli tidak bersikap jujur ataupun munasabah, apa sahaja gabungan yang dilakukan pasti akan berpecah.

“Kena buat dengan cara yang betul. Maksud saya, apa yang berlaku dalam pengalaman Muafakat Nasional contohnya, parti yang besar meminggirkan parti kecil tidak lagi berlaku.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil mahu lihat penyatuan ummah, kesatuan tetapi kalau masalah di hadapan, macam mana ia dapat dibentuk? Beri ruang dan peluang dengan tidak meminggirkan sesiapa,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.

Justeru, Abdullah Zaik menegaskan supaya setiap parti diberi peranan yang sewajarnya selain turut menerima kedudukan yang sama supaya keharmonian dapat dijaga.

Menurutnya lagi, seruan yang dilaungkan itu sepatutnya bukan bersifat politik, sebaliknya lebih mengutamakan penyatuan ummah dan memahami kehendak masyarakat.

“Kita hendak merealisasikan hasrat rakyat dan ummah yang mahukan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan sebagainya.

“Jadi saya percaya bahawa Tan Sri (Annuar) menyebut perkara itu dari titik tolak yang ikhlas, kesatuan ummah. Dari segi pelaksanaan itu saya sarankan untuk dibawa berbincang bersama semua pihak.

“Kita tidak mahu isu yang melibatkan parti besar meminggirkan parti kecil ataupun parti besar meminggirkan bila sudah rasa stabil dan kuat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad menyatakan, jika gabungan yang direncanakan Annuar adalah berorientasikan kepada kebajikan, maka ia wajar diteruskan.

Beliau bagaimanapun beharap supaya parti politik tidak mewujudkan pelbagai jenis gabungan atau mewujudkan parti baharu semata-mata untuk menguatkan kuasa sedia ada.

Semalam, Annuar menerusi catatan di Facebook rasminya mencadangkan supaya satu pembentukan kerajaan ‘grand coalition’ yang melangkaui parti-parti Melayu dan sealiran dibentuk demi kestabilan politik negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas