Berita

Pengendali feri Labuan, Juta Bonus henti sementara perkhidmatan akibat isu teknikal

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Disember 2023 10:50 AM MYT

JUTA Bonus Sdn Bhd, satu daripada dua pengendali feri Labuan bagi laluan Labuan-Menumbok-Labuan, menghentikan operasinya semalam (28 Disember), telah menimbulkan kesusahan kepada pengguna yang merancang perjalanan sempena cuti Krismas dan cuti sekolah akhir tahun.

Notis yang dikeluarkan semalam oleh syarikat pengurusan tiket pengendali, Binabalu Sdn Bhd melalui laman Facebook rasminya, menyatakan isu teknikal yang tidak dijangka telah menjejaskan dua ferinya – Galaxy dan Blue Ocean – sebagai punca pemberhentian perkhidmatan secara tiba-tiba.

Bagaimanapun ia tidak menyatakan bila kedua-dua feri itu akan beroperasi semula.

Beratus-ratus pengguna yang terkandas cuba mendapatkan bayaran balik atau menjadualkan semula perjalanan mereka, keadaan di terminal feri Menumbok juga tegang apabila kekecewaan memuncak, menyebabkan beberapa individu melepaskan kemarahan dan menyuarakan rungutan mereka di media sosial.

Syarikat pengurusan tiket itu menggesa penumpang yang terjejas pergi ke kaunter untuk mendapatkan bayaran balik atau menyerahkan gambar tiket mereka sebagai bukti pembayaran balik secara dalam talian melalui WhatsApp di talian 016-8189040.

Dengan penggantungan sementara Galaxy dan Blue Ocean, hanya empat feri –  Kimanis 1, Putrajaya 1, Goodwill Star dan Joystar – beroperasi. Keempat-empat feri ini dikendalikan oleh Labuan Mainland Link Sdn Bhd. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas