Berita

Penganggur tidak mengaku rompak peguam

- Diterbit 19 Januari 2021 8:21 AM MYT

SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak dompet milik seorang peguam melibatkan kerugian kira-kira RM2,000 minggu lalu.

Sharif Amiril Muhminin Abdul Moin, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Tertuduh didakwa merompak dompet milik Nam Ian Mark Simpson, 56, yang mengandungi kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan wang tunai RM2,000 di lorong Bidara Bukit Bintang, Dang Wangi di sini, pada 3 pagi, 13 Jan lepas, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, mangsa dirompak semasa hendak memberikan wang kepada tertuduh yang sebelum itu meminta wang untuk makan.

Kamarudin membenarkan Sharif Amiril Muhminin diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan bagi lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri sementara tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas