Pendakwaan akan pinda dua pertuduhan dihadapi Lim Guan Eng

Pendakwaan akan pinda dua pertuduhan dihadapi Lim Guan Eng

PIHAK pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama akan meminda dua daripada empat pertuduhan yang dihadapi bekas menteri kewangan itu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

“Pihak kami akan mengemukakan pindaan tersebut pada tarikh sebutan semula kes 28 Okt depan, apabila tertuduh hadir ke mahkamah,” katanya.

Wan Shaharuddin turut memohon tarikh perbicaraan kes itu ditetapkan ketika kehadiran tertuduh pada tarikh sama dan Azura membenarkan permohonan itu.

Terdahulu, Azura turut membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, untuk mengecualikan Lim, 60, daripada menghadiri prosiding hari ini kerana tertuduh perlu ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Pada 7 Ogos lepas, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta bagi pihak dirinya sendiri suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Suapan itu adalah sebagai upah bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu, membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 10 Ogos lepas pula, Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Pada 11 Sept, Ahli Parlimen Bagan itu sekali lagi didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Lim, didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Beliau juga dituduh menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

CATEGORIES