Berita

Pendakwaan akan bukti Shafee terima RM9.5 juta ‘fi’ daripada Najib, sembunyikan daripada LHDN

PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan yang didakwa atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kredit foto: Bernama
- Diterbit 21 Mei 2021 10:01 AM MYT

PENDAKWAAN dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bermula hari ini akan membuktikan bahawa tertuduh dalam kapasitinya sebagai peguambela dan peguamcara telah menerima sejumlah RM9.5 juta sebagai ‘fi’ daripada Datuk Seri Najib Tun Razak namun telah menyembunyikan fakta itu daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, ketika membacakan kenyataan pembukaan dalam perbicaraan Muhammad Shafee, berkata tertuduh yang berusia 69 telah menerima bayaran itu daripada bekas perdana menteri tersebut dalam dua tranche pada 2013 dan 2014.

“Sejumlah RM4.3 juta telah diterima pada 5 Sept 2013. Cek bagi jumlah itu telah dideposit ke dalam akaun peribadi beliau dengan bank CIMB di cawangan berhampiran pejabatnya. Pembayaran ini adalah sebahagian daripada intipati pertuduhan pertama. Tertuduh tidak mengisytiharkan jumlah ini kepada LHDN seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Tranche kedua RM 5.2 juta telah dideposit ke dalam akaun sama pada 17 Feb 2014. Ini adalah sebahagian daripada intipati pertuduhan kedua. Tertuduh tidak mengisytiharkan jumlah ini kepada LHDN seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Pendakwaan akan membuktikan fakta ini kemudian,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Afzainizam berkata pendakwaan berpandangan bahawa dalam pertuduhan pertama dan kedua ialah persekitaran yang menyaksikan wang terbabit diterima dan disembunyikan daripada LHDN memungkinkan mahkamah menganggap bahawa tertuduh terlibat dalam aktiviti haram dan oleh itu, melakukan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Menyentuh mengenai pertuduhan ketiga dan keempat iaitu memberikan kenyataan palsu kepada LHDN), Afzainizam berkata pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh melanggar Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Ini adalah satu kesalahan berjadual dan oleh itu, adalah kesalahan serius yang terjumlah kepada aktiviti yang menyalahi undang-undang serta secara definisi adalah pengubahan wang haram.

“Pendakwaan berpendapat bahawa berdasarkan perkara ini, tertuduh telah melakukan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

“Pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh telah memberikan versi yang bercanggah sebagai alasan bagi pembayaran fi terbabit,” katanya.

Beliau juga berkata pada 28 Julai 2017, ketika memberikan kenyataan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tertuduh menyebut bahawa wang itu adalah fi yang dibayar kepadanya namun telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi dan bukan akaun firma guaman Tetuan Shafee & Co.

“Kenyataan seterusnya yang dirakam daripada tertuduh ialah pada 11 Sept 2018 yang menyaksikan Muhammad Shafee berkata pada 5 Sept 2013, beliau dan Najib telah bersetuju bahawa wang itu adalah pinjaman kepada tertuduh sementara menunggu rasionalisasi fi yang sudah dibayar kepadanya.

“Semasa kenyataan ini dirakam, tertuduh telah menyerahkan sepucuk surat kononnya daripada beliau bertarikh 12 Sept 2013 dan mempunyai parap Najib. Pendakwaan tidak menerima surat ini sebagai tulen.

“Kami berpendapat bahawa surat ini dihasilkan selepas 28 Julai 2017. Kami akan bergantung kepada bukti berdasarkan persekitaran bagi menyokong kes kami dalam perkara ini. Kami juga akan bergantung kepada bukti berdasarkan persekitaran bagi membuktikan mens rea di pihak tertuduh ketika melakukan kesalahan ini,” katanya.

Afzainizam juga berkata tertuduh dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 8 Sept 2018 telah mendakwa bahawa RM9.5 juta itu adalah bayaran fi kepadanya sementara menunggu rasionalisasi kertas kerja yang dipersetujui Najib. Pendakwaan akan mengemukakan hujah bahawa kenyataan akhbar itu, jika dibaca secara keseluruhan, menyatakan bahawa wang itu merupakan satu pinjaman,” katanya.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram melalui cek yang dikeluarkan oleh Najib dan dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima sekeping cek bagi jumlah RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan sekeping lagi bagi jumlah RM5.2 juta pada 17 Feb 2014 di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Peguam itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanyam jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee turut berdepan dua pertuduhan terlibat dalam urus niaga hasil aktiviti haram dengan mengemukakan kenyataan tidak tepat dan bercanggah dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014 di cawangan LHDN Duta di Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim di sini pada 3 Mac dan 29 Jun 2015.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Muhammad Shafee berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram terbabit, jika sabit kesalahan. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas