Berita

Pemegang saham terbesar Family Mart tamatkan MoU bersama syarikat Israel

Gambar hiasan
- Diterbit 6 Februari 2024 11:02 AM MYT

PEMEGANG saham terbesar FamilyMart Co. Ltd, Itochu Corporation akan menamatkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Elbit Systems, sebuah syarikat pertahanan Israel.

Ia susulkan gesaan boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka berikutan anak syarikatnya Itochu Aviation telah menandatangani MoU dengan salah satu syarikat daripada Israel.

Pada Mac 2023, Itochu Aviation (anak syarikat kepada Itochu Corporation) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Nippon Aircraft Supply dan Elbit Systems untuk mengimport teknologi pertahanan ke Jepun bagi tujuan keselamatan negara Jepun.

FamilyMart dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai seruan di media sosial untuk memboikot FamilyMart di Malaysia.

“Kami dimaklumkan pada 5 Februari oleh FamilyMart Co. Ltd, Jepun bahawa Itochu Aviation akan menamatkan MoU tersebut seperti yang dilaporkan dalam berita di Jepun.

“Keputusan ini dibuat bagi menyokong sokongan kerajaan Jepun terhadap perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice) baru-baru ini yang termasuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan tersebut semalam.

Tambahnya, FamilyMart Malaysia ingin mengulangi pendirian bahawa pihaknya tidak menyokong keganasan atau pembunuhan.

“FamilyMart Malaysia tidak menyumbang atau menderma atau berurusan dengan Israel,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas