Berita

Kejayaan laksana reformasi dasar beri peluang tambah bantuan rakyat

- Diterbit 6 Februari 2024 11:10 AM MYT

KEJAYAAN melaksanakan reformasi dasar kerajaan serta berusaha mengurangkan ketirisan dan pembaziran dan mengamalkan tata kelola yang baik membolehkan bantuan tambahan disalurkan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk meningkatkan bantuan kepada pekebun kecil getah, pesawah padi, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

“Kejayaan melaksanakan beberapa program termasuk penyasaran subsidi elektrik dan pengapungan harga ayam, ini semua membantu untuk kita mendapatkan hasil yang lebih baik.

“Khidmat badan penguat kuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang boleh membawa hasil lebih baik dan dengan hasil ini kita boleh tambah lonjakan besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Amanat dan Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan hari ini.

Anwar berkata peruntukan bantuan tunai menerusi STR turut ditingkatkan kepada RM10 bilion pada tahun ini berbanding RM8 bilion pada tahun lalu yang memanfaatkan sembilan juta penerima yang memerlukan.

“BAP diperluas penerima dari darjah 1 hingga tingkatan 5 dan mula diagihkan pada Januari lalu untuk bantuan persediaan persekolahan anak-anak. Peruntukan BAP pada 2022 adalah RM450 juta membabitkan tiga juta penerima, RM800 juta pada 2023 untuk lima juta penerima. Kadar BAP adalah RM150.

“Kalau dulu, murid daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah (menerima BAP). Ramai penjawat awam protes dan buat rayuan. Oleh kerana rayuan itu, kita beri peluang kepada semua murid. Susah untuk buat penilaian (kriteria).

“Cuma kita harap kadang-kadang kalau orang itu betul-betul kaya, sepatutnya dia ambil RM150 dan beri kepada orang lain. Oleh kerana ukuran kriteria (penerima) prosedur birokrasi terlalu banyak, jadi kita kata, tidak apa, RM150 untuk anak-anak sekolah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kadar skim subsidi harga padi juga ditingkatkan sebanyak RM500 pada 2023 daripada RM360 tahun sebelumnya, manakala harga lantai belian padi ditambah sebanyak RM100 menjadi RM1,300 berbanding RM1,200 pada 2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas