Berita

Pemasangan pagar besi bagi memastikan Padang Merbok dalam keadaan baik – Mahadi

MENURUT Mahadi, meskipun pemasangan struktur tersebut bersifat kekal, orang awam masih dibenarkan menggunakan Padang Merbok dengan kebenaran secara berjadual.
- Diterbit 7 Ogos 2022 6:33 AM MYT

PEMASANGAN struktur pagar besi di sekeliling kawasan Padang Merbok di sini bertujuan untuk menjalankan kerja-kerja penyelengaraan dan penjagaan padang bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan yang baik.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata penggunaan padang tanpa kawalan dan sistem teratur sebelum ini mengakibatkan ia sering rosak dan menelan belanja yang tinggi untuk membaik pulih.

“Dengan pagar itu saya yakin penjagaan padang akan lebih sempurna dan terkawal, dan sesiapa saja boleh membuat booking (tempahan) untuk menggunakan padang.

“Orang nak masuk pun kita boleh uruskan dengan baik, ada giliran, kalau padang tu rosak kita tutup sekejap, baiki dan selenggara sebelum dibuka balik dan saya rasa ia akan lebih terkawal serta terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas tindakan dua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh dan Fahmi Fadzil yang mempersoal serta meminta penjelasan DBKL berkenaan tindakan mendirikan pagar berstruktur kekal dalam sidang medianya semalam (6 Ogos).

Menurut Mahadi, meskipun pemasangan struktur tersebut bersifat kekal, orang awam masih dibenarkan menggunakan padang itu dengan kebenaran secara berjadual.

“Ia merupakan pendekatan serupa yang dilaksanakan di beberapa kawasan lain bagi tujuan sama.

“Ketika ini padang berkenaan mengalami beberapa masalah melibatkan isu saliran dan ia masih menjalani kerja-kerja naik taraf dan belum dibuka kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu Mahadi merasmikan Majlis Penutup dan Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR)
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau DBKL Home Cup 2022 di Stadium Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas