Berita

Pemandu e-hailing didakwa serang ahli perniagaan

- Diterbit 17 Disember 2020 7:32 AM MYT

SEORANG pemandu perkhidmatan e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang ahli perniagaan minggu lepas.

Oh Kay Yap, 35, didakwa menyerang Pat Wen Liang, 31, menggunakan sebuah kereta dengan niat mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa di lokasi mengambil penumpang Grab di Terminal Bersepadu Selatan di Cheras pada kira-kira 9.30 malam 9 Dis lepas.

Oh, yang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib, didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon agar mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, Mahyon menerusi budi bicara mahkamah membenarkan Oh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta mengarahkan dia melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.

Beliau menetapkan 8 Jan tahun depan sebagai sebutan kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas