Selebriti

Pelakon Ridzuan Hashim meninggal dunia

|
- Diterbit 4 Mei 2023 7:11 AM MYT

PELAKON popular Ridzuan Hashim ,62, meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira pukul 11 pagi tadi di rumahnya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Berita sedih ini dikongsikan pelakon yang juga bekas isterinya, Didie Alias menerusi media sosialnya.

“Saya ingin beritahu kepada sahabat-sahabat, saudara mara, sahabat handai yang mengenali bekas suami saya, Mohd Ridzuan Hashim, beliau telah kembali ke rahmatullah tadi.

“Kepada sesiapa yang ingin melawat jenazah Masih berada di HKL. Selepas ini saya akan update di mana beliau akan dikebumikan.

“Saya memohon kepada semua, Siapa yang ada hutang dengan arwah boleh hubungi say dan maafkan beliau,” katanya menerusi sebuah hantaran video di Instagramnya.

Manakala anak saudara Ridzuan yang juga pelakon iaitu Iman Zulkarnain, mengesahkan arwah tiba-tiba jatuh ketika sedang sarapan di meja makan.

“Arwah jatuh ketika sedang sarapan pagi di rumahnya. Kemudian anaknya bawa arwah ke hospital dan doktor sahkan telah meninggal dunia,” ujarnya.

Jenazah akan dikebumikan pada petang ini di Tanah Perkuburan Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

IMAN Zulkarnain (baju Melayu hitam) bersama arwah Ridzuan Hashim

Ridzuan memulakan kerjaya dalam bidang seni sebagai model iklan komersial, seterusnya mengembangkan bakat dalam dunia lakonan apabila ditawarkan membintangi dalam drama Adam & Hawa siaran TV1 pada 1986.

Ridzuan telah berlakon dalam berpuluh-puluh filem antaranya adalah KL Gangster, Lemak Kampung Santan, Pilot Cafe, Antara Dua Hati, Hati Bukan Kristal, Ghazal Untuk Rabiah Daddyku Gangster dan banyak lagi.

Selain itu, Ridzuan juga pernah terbabit dalam produksi antarabangsa iaitu filem blockbuster India, Don 2 bersama Shah Rukh Khan dan telemovie produksi Jerman, Love & Death on Java.

Ridzuan pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, pelawak dan pengacara popular, Didie Alias pada 1992.

Namun, rumah tangga dibina tidak bertahan lama apabila berpisah pada 2002.

Hasil perkongsian hidup bersama Didie, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Dhaniyah, Muhammad Daniel, Nur Dania, Nur Diyana dan Nur Dayani. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas